Fosil Dinosaur Herbivor Ditemui Di Pahang

Oleh: Soon Li Wei

Kuala Lumpur – Saintis Universiti Malaya (UM) menjumpai fosil gigi tinggalan dinosaur herbivor pertama di Malaysia di kawasan pedalaman Pahang.

Gigi milik Dinosaur Herbivorous Ornithischian yang hidup dalam tempoh permulaan zaman Jurassic hingga Cretacious dan dinamakan ‘Sampel UM10580’ itu, hanya berukuran 13mm panjang dan 10.5mm lebar.

Ia dipercayai berusia antara 100 juta dan 110 juta tahun.

Pasukan penyelidik paleontologi UM menjumpai gigi itu baru-baru ini, menjadikannya penemuan kedua tinggalan fosil dinosaur di Malaysia. Pada Februari tahun ini, fosil dinosaur pemakan ikan ditemui.

Tinggalan dinosaur terbaharu yang ditemui itu dikenal pasti pasukan penyelidikan paleontologi diketuai Profesor Madya Dr Masatoshi Sone dari Jabatan Geologi UM, dengan kerjasama pakar paleontologi reptilia Profesor Ren Hirayama dari Waseda University, Tokyo dan Profesor Madya Toshifumi Komatsu dari Kumamoto University.

Dr Sone berkata dengan penemuan fosil gigi itu, pasukan berkenaan mengesahkan wujudnya tinggalan dinosaur di Pahang.

“Sampel mentah berkaitan gigi itu dijumpai Disember tahun lepas dalam ekspedisi lapangan dan pencarian tinggalan dinosaur di Malaysia yang dilakukan sejak September 2012,” katanya dalam taklimat kepada media di UM pada Khamis.

Turut hadir Dekan Fakulti Sains UM Profesor Dr Zanariah Abdullah dan pemangku Ketua Jabatan Geologi Profesor Madya Mustaffa Kamal Shuib.

Ornithischian, kata Dr Sone, adalah ‘pemakan tumbuh-tumbuhan’ yang hidup dalam tempoh awal zaman Jurassic hingga Cretaceous.

“Ia berjalan dengan dua atau empat kaki dan tidak mempunyai perisai tubuh… ia menghabiskan separuh kehidupannya di dalam sungai atau tasik manakala separuh lagi di darat,” katanya.

Dr Sone berkata sampel berkenaan terlalu kecil untuk memberi maklumat terperinci lain, termasuk jantina makhluk prasejarah itu, tetapi makhluk ini dipercayai merupakan haiwan daratan.

“Kawasan spesimen ini dijumpai dahulunya adalah tasik dan gigi berkenaan dikeluarkan daripada strata batuan enap.

“Dinosaur adalah haiwan daratan… sebab itu, kebanyakan fosilnya hanya boleh dijumpai di kawasan daratan iaitu endapan sungai atau tasik,” katanya.

Beliau berkata fosil berkenaan dijumpai tidak jauh dari lokasi penemuan pertama pada Februari.

“Kami tidak menolak kemungkinan terdapat ekosistem yang mengumpul spesies dinosaur di sekitar tempat penemuan itu,” katanya.

Dr Sone berkata pasukan itu sedang meneruskan penyelidikannya dan berharap dapat menjalankan siasatan lebih ekstensif untuk menghasilkan penemuan lebih penting.

“Ada kemungkinan terdapat banyak deposit fosil dinosaur di Malaysia. Siasatan lapangan secara ekstensif kami di seluruh negara mungkin menghasilkan penemuan lebih penting tidak lama lagi.

“Kami juga akan menjumpai lebih banyak fosil di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Kedah, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya.

Dr Sone berharap penemuan baharu itu akan membawa kepada kemajuan pengajian dalam bidang paleontologi di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.