Bosan Dikaitkan Dengan Amar, Izreen Sukar Jalinkan Hubungan Dengan Lelaki Lain

Petaling Jaya – Pelakon drama bersiri popular, 7 Suami, Izreen Azminda, 26, mengakui bosan selepas kisah peribadinya masih digosipkan dengan pelakon Amar Baharin.

Katanya, gosip itu membuatkan dia sukar menjalinkan hubungan dengan lelaki lain sambil menjelaskan hubungan mereka ketika ini sekadar rakan dan bukan pasangan kekasih.

“Janganlah kaitkan lagi saya dengan dia. Saya sampai rasa rimas.

“Lagipun saya ada kehidupan sendiri dan dia juga begitu. Bagilah kami ruang,” katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui pada sidang media teater Takhta 3 Ratu di Ampang, Selangor, semalam.

Akibat tidak tahan dengan gosip berkenaan, Izreen bertindak memadam gambar mereka berdua di laman sosial, Instagram.

“Saya tidak mahu lagi dibayangi nama dia. Kami hanya kawan biasa saja”, katanya.

Gosip cinta Izreen dan Amar diperkatakan sejak mereka terbabit sama membintangi drama bersiri, Kerana Terpaksa Aku Relakan.

Tambahnya, dia mengambil keputusan memadamkan semua gambar bersama Amar sebagai salah satu cara menghentikan spekulasi.

“Bila saya letak gambar saya dan dia, mulalah macam-macam orang komen. Jadi, saya rimas orang asyik bercakap tentang kami.

“Tidak mahu pening kepala, sebab tu saya padam semua gambar itu. Saya harap selepas ni janganlah kaitkan lagi saya dengan dia, pintanya.

Dalam pada itu, Izreen menyatakan dia gembira dengan kehidupan sebagai ibu tunggal.

Bagaimanapun, dek komitmen kerja, dia terpaksa tinggalkan anaknya, Muhammad Adrian Umar dibawah jagaan ibunya di Alor Setar, Kedah.

Walaupun terpaksa berjauhan dengan anak, Izreen mengganggap ia sebagai satu pengorbanan untuk memastikan anak tunggal kesayangannya itu menjalani kehidupan lebih baik dan mendapat kasih sayang secukupnya.

Meskipun sibuk dengan penggambaran, Izreen menyatakan dia pasti akan kerap pulang ke kampung menjenguk buah hatinya itu.

“Anak saya sekarang sudah berusia setahun empat bulan. Dia tinggal dikampung bersama keluarga saya.

“Bukan saya tak mahu dia tinggal dengan saya di sini tetapi memandangkan saya sibuk dengan kerja, sekuranya mak, ayah dan adik beradik saya boleh bantu menjaganya.

“Saya mahu dia membesar dan berkawan macam anak lain. Saya rasa apabila duduk di kampung dia boleh membesar dan menjalani kehidupan lebih baik berbanding di bandar yang mungkin hanya terperap di rumah apabila saya sibuk dengan penggambaran yang tidak tentu masa,” katanya.

Izreen juga memberitahu, dia tidak menghalang bekas suami, Muhammad Riza Baharuddin melawat Adrian pada bila-bila masa tetapi bersyarat.

“Bekas suami saya pun selalu menjenguk anak kami. Saya tidak kisah jika datang melawat.

“Malah, saya katakan padanya yang dia boleh bermalam dengan Adrian tetapi syaratnya tidak boleh membawa Adrian ke tempat lain dan hanya tidur di rumah ibu saya,” ujarnya.

Izreen sebelum ini pernah berkahwin dengan Muhammad Riza yang juga seorang jurukamera pada 31 Ogos 2012.

Namun, bercerai pada 9 Jun 2014 selepas mendirikan rumah tangga kira-kira hampir dua tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.