Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Untuk Kanak-Kanak Berusia 7 Tahun Timbul Persoalan

Petaling Jaya – Kemenangan pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi untuk anugerah Pelakon Wanita Terbaik kategori drama pada majlis Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) lalu bukan saja memberi kejutan ramai tetapi juga menimbulkan persoalan.

Apakah pelakon berusia 7 tahun ini layak menang anugerah kategori wanita atau penganjur sepatutnya mewujudkan kategori baru, anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam, 60, bersetuju dengan cadangan tersebut apatah lagi berpandangan gelaran pelakon wanita belum tiba masaya diberikan kepada Balqis.

“Saya tak nafikan bakat anak kecil itu. Cuma lebih baik jika diwujudkan satu kategori lain.

“Bagi saya kategori wanita itu kurang sesuai dan berasa pelik tambahan ia jarang berlaku dalam sejarah majlis anugerah tanah air,” katanya kepada Malaysian Digest.

Bagi Lisa Surihani, 28, sebagai pelakon lebih senior dia tidak mempunyai masalah dengan kemenangan Aqish. Malah, kejayaan kanak-kanak itu merupakan sesuatu yang positif terhadap perkembangan industri lakonan tanah air.

“Saya rasa penganjur lebih berhak menjawab soalan ini. Lagipun, mungkin tiada syarat yang tidak melayakkan dia untuk bertanding dalam kategori tersebut.

“Jadi, mungkin sesiapa pun layak dan boleh menang,” kata pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM ke-23 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASK2012.

Seorang lagi pelakon wanita, Nora Danish menyatakan dia terperanjat dengan kemenangan Balqis pada malam itu. Namun, Nora mengakui Balqis seorang kanak-kanak yang bijak dan punyai bakat lakonan luar biasa.

“Dia bagus dan sudah sampai ke satu tahap berbeza. Dia berjaya memberikan lakonan seorang kanak-kanak di luar kotak pemikiran kita sebagai golongan dewasa,” katanya.

Jika merujuk sejarah majlis anugerah filem Hollywood menyaksikan anugerah Oscar pernah diberikan kepada Tatum O’Neal sebagai pemenang paling muda memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi watak tomboy dalam filem Paper Moon sekitar tahun 1973. Ketika itu usianya baru mencecah 10 tahun.

Aktres Anna Paquin juga pernah mengejutkan ramai apabila meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada usia 11 tahun di Anugerah Academy pada tahun 1994 menerusi filem The Piano.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.