Ambank Nafikan Terlibat Promosikan Aktiviti LGBT

Kuala Lumpur – Kumpulan Ambank hari ini menafikan pihaknya terlibat dalam mempromosikan aktiviti kumpulan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kepada pelanggan Islamnya.

Menerusi satu kenyataan kepada The Rakyat Post, firma perbankan tempatan itu menyangkal laporan sebuah portal yang telah mengaitkan Ambank Holdings Bhd (AMMB) dan anak syarikatnya terbabit secara langsung dalam mempromosi LGBT.

Menurut kenyataan itu, Metlife Inc. adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di Amerika Syarikat dan diurus menerusi undang-undang di negara itu.

“Kumpulan AmBank terutamanya, AmMetLife Insurance Berhad dan AmMetLife Takaful Berhad yang beroperasi dan ditadbir secara bebas di bawah undang-undang Malaysia tidak menyokong mana-mana amalan yang melanggar mana-mana undang-undang, termasuk undang-undang Syariah.

“Anak syarikat itu iaitu AmMetLife adalah sebuah syarikat insurans hayat terbesar di dunia dan mempunyai hampir 100 juta pelanggan dan telah beroperasi di 50 buah negara,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, Metlife sangat menghormati undang-undang tempatan, tradisi dan budaya pasaran di mana ia beroperasi.

Semalam, beberapa portal berita melaporkan satu badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa umat Islam di negara ini supaya mengkaji semula urusan mereka dengan AmBank Malaysia Holdings Bhd, berikutan kerjasama bank itu dengan syarikat insurans Amerika, Metlife International Holding.

Presidennya, Azwanddin Hamzah mendakwa firma perbankan tempatan itu menerusi anak syarikatnya Metlife mempunyai kaitan dalam mempromosi budaya LGBT ke negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.