45 GRO Vietnam Termasuk Gadis Bawah Umur Bekerja Untuk Sindiket Pelacuran Ditahan

Muar – Seramai 45 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) untuk sindiket pelacuran, termasuk gadis di bawah umur, ditahan di dua premis hiburan di Jalan Bentayan, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam serbuan pertama pada jam 1.35 pagi semalam, seramai 31 wanita Vietnam berusia 15 hingga 29 tahun dicekup.

“Mereka dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan ditahan, selepas mendapati mereka tiada dokumen perjalanan sah, tiada permit kerja dan dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bertugas sebagai penjaga premis, bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Katanya, hasil siasatan itu, polis menyerbu sebuah lagi pusat hiburan di kawasan sama pada jam 12.45 tengah malam dan menahan 14 wanita Vietnam, serta seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis.

Siasatan awal mendapati, semua wanita terbabit tiada dokumen perjalanan sah, tiada permit kerja dan dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan di premis berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua pusat hiburan itu beroperasi tanpa lesen dan ia bukan kali pertama diserbu.

Serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam bahawa wujud perbuatan maksiat di dua premis terbabit.

Berdasarkan maklumat itu, Azman berkata, polis melakukan intipan, sebelum melancarkan Ops Noda.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 39B akta sama dan Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 4/98.

“Kami memandang berat masalah persundalan dan buktinya, sebanyak 155 serbuan dilakukan sejak Januari hingga Oktober lalu.

“Pada masa sama, kami menahan 148 orang, selepas dipercayai terbabit dengan aktiviti pelacuran dan sudah membuat 67 pertuduhan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan sedemikian diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.