Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah melancarkan Jelajah Peduli Ummah : Sejahtera Insan Al -Falah MAPIM yang mensasarkan hampir 100,000 orang penerima manfaat akan mendapat bantuan sewajarnya tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Pelancaran dan pelepasan (flag -off) telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar di Kompleks Islam, dekat sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Ketua Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Dr. Ridzwan Bakar; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Hj. Mohd Ajib Ismail; Vice President of Growth & Marketing ZUS Coffee, Stephy Foong, dan Saudara Faizal Tahir.
Mohd Na’im dalam ucapannya berkata, program ini simbolik kepada solidariti rakyat Malaysia dan selaras dengan semangat ‘Sejahtera Insan Al-Falah’.
“Ia mencerminkan kebajikan dan kesejahteraan untuk semua lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum dan agama, dengan matlamat utama untuk menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf, B40, para pelajar, anak-anak yatim, orang tua, orang asli, dan mangsa banjir.
“Selain pelbagai lagi segmen masyarakat yang berada di bawah paras kemiskinan dan memerlukan perhatian khusus, ”katanya.
Terdahulu, beliau turut melawat aset-aset bantuan kecemasan MAPIM Malaysia yang akan digunakan dalam misi jelajah ini.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif MAPIM Malaysia, Pesuruhjaya Kehormat (PA) Dr.Sani Araby Al Kahery
Dato’ Abdul Alim Araby berkata, pihaknya akan mengutamakan usaha untuk menyantuni masyarakat dalam negara, memberi fokus kepada golongan yang perlu diberi sokongan dan perhatian oleh semua pihak.
“Namun, ini tidak bermakna bantuan dan sokongan kepada saudara-saudara di Gaza dan di luar negara seperti Lebanon dan Syria akan dikurangkan.
“Usaha kita dalam negara adalah keutamaan, namun bantuan kepada saudara kita di Gaza dan negara-negara lain yang memerlukan tetap akan diteruskan.
“Usaha kerdil ini memerlukan gandingan kita semua agar semangat Malaysia menjadi formula kejayaan dalam hal kemanusiaan,”katanya.
“MAPIM akan menggerakkan lebih 20 aset bantuan kecemasan yang terdiri daripada kenderaan bantuan 4×4, peralatan logistik seperti bot, mobile clinic, mobile kitchen, alatan membersih rumah dan sukarelawan terlatih.
“Ianya selari dengan penganjuran Bulan Siaga Bencana sebagai persediaan menghadapi bencana alam seperti banjir kilat, ribut, tanah runtuh dan pelbagai lagi sepanjang musim monsun yang akan tiba.
“Selain aset bantuan bencana digerakkan, MAPIM Malaysia turut akan menyediakan kotak-kotak bantuan yang merangkumi bekalan makanan, pakaian, ubat-ubatan, serta keperluan asas lain yang akan diberikan kepada mangsa bencana di seluruh negara,”katanya lagi.
Menerusi kenyataan bersama MAPIM YWM memaklum program ini akan memulakan penjelajahan pada bulan ini hingga Februari depan, yang melibatkan beberapa buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, program ini merupakan inisiatif besar, melibatkan gabungan kerjasama pelbagai agensi iaitu JAKIM, YWM, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Zus Coffee.
“Sepanjang program jelajah ini terdapat beberapa pengisian utama yang akan dilaksanakan antaranya , ‘Misi Ummah Bantu Ummah’ bagi membantu golongan yang paling memerlukan melalui bantuan makanan, pakaian, serta keperluan asas lain.
“Karnival Peduli Ummah: Sejahtera Insan dengan Nilai Al-Falah, dengan aktiviti yang akan menggabungkan elemen pendidikan, sosial, dan keagamaan untuk menyemarakkan semangat kepedulian dalam masyarakat.
“Majlis Selawat & Solat Hajat bagi bertujuan memohon perlindungan dan keberkatan daripada Allah SWT bagi seluruh rakyat Malaysia,”tambahnya.
“Selain itu, Ziarah Mu’saadah Dakwah & Jiwa Murni Al-Falah ke kawasan-kawasan pedalaman dan komuniti terpinggir untuk mendekati mereka secara langsung.
“Misi Bantu Asnaf & Anak Yatim merupakan program khusus untuk membantu golongan asnaf dan anak-anak yatim, memberikan mereka harapan dan peluang untuk masa depan yang lebih baik,”tambah kenyataan itu lagi. – SUARA.TV