Rakan Gesa Menteri Letak Jawatan, Gagal Tunai Janji Turun Harga Barang dan Minyak

KUALA LUMPUR – Bekas ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Shaharin mahu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meletakkan jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana gagal menunaikan janjinya kepada rakyat.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard berkata, menteri itu bukan sahaja gagal menurunkan kos kehidupan, malah harga barang dan perkhidmatan makin meningkat tanpa kawalan di bawah pentadbirannya.

Katanya, beliau yang berbelas tahun berjuang bersama Saifuddin Nasution dalam PKR masih ingat janji sahabatnya itu, yang menyatakan rakyat sepatutnya menikmati harga minyak murah kerana Malaysia negara pengeluar minyak.

“Beliau juga menyatakan, kita tidak boleh bezakan harga minyak Malaysia dengan negara lain yang bukan pengeluar minyak di dunia.

“Nampaknya bila jadi menteri, kamu jadi lupa dengan semua hujah kamu dan kamu khianat rakyat. Nama rakyat hanya mainan untuk dapat kuasa, bila berkuasa rakyat dipijak,” katanya yang dipetik menerusi blog beliau chegubard.blogspot.com.

Beliau membuat coretan itu selepas hadir bersama kumpulan NGO Tuntut menyerahkan memorandum desakan menbatalkan Program Subsidi Petrol (PSP) di luar pagar Parlimen kelmarin.

Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard ketika menyampaikan ceramah dalam program PKR tidak lama dulu. 

Katanya, beliau cukup marah apabila Saifuddin Nasution mengumumkan pembatalan subsidi petrol dan akan mengapungkan mengikut harga pasaran dunia bermula 1 Januari 2020.

“Bagi saya ini semua menipu rakyat, yang sebenarnya ia menunjukkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan ketidakmampuan kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat.

“Apabila kerajaan tidak mampu, maka kerajaan terpaksa apungkan nasib rakyat kepada pasaran.

“Ternyata kamu menteri yang gagal kerana program dan peruntukan yang sepatutnya diselesaikan dalam belanjawan 2019, kamu hanya mampu laksanakan tahun 2020,” ujarnya.

Menurut Chegubard, lebih malang walaupun pelaksanaan PSP hanya tahun 2020, tetapi bagi bajet 2019, kementerian itu telah membazirkan kira-kira RM25 juta kononnya untuk membangunkan satu sistem kad RON95 bagi mengendalikan PSP.

Namun, katanya, bila diumumkan PSP dilaksanakan tahun depan dan wang dimasukkan terus ke akaun penerima empat bulan sekali, ternyata wang RM25 juta yang dibayar kepada syarikat berkenaan hangus begitu sahaja.

Berita pilihan pembaca;

“Kalau setakat hendak guna pakai senarai penerima dari skim Bantuan Sara Hidup (BSH), kenapa perlu bazirkan wang rakyat sehingga RM25 juta untuk bangunkan sistem?

“Untuk pengetahuan menteri, bukan semua M40 tersenarai dalam penerima BSH, kerana ramai yang gagal dalam bab dokumentasi dan syarat pengesahan yang dikenakan.

“Bukan sedikit rakyat khususnya kelompok B40 tidak menggunakan kenderaan atas nama mereka. Sistem pinjaman bank yang ketat menyebabkan ramai menggunakan nama orang lain untuk memiliki kenderaan,” katanya.

Beliau merayu dan menyeru sahabat dalam PKR yang rapat dengan Saifuddin Nasution agar tolong menegur dan mengingatkan kepada menteri itu akan janji serta ikrarnya ketika sebagai pembangkang dahulu. – MalaysiaGazette

Lain-lain berita hangat;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.