Projek Kereta Terbang Masuk Fasa Kedua, Kerajaan Hanya Pemudahcara – Menteri

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof hari ini berkata projek kereta terbang kini memasuki fasa kedua pembinaannya yang kini sedang dibangunkan sebuah syarikat Malaysia yang beroperasi di Jepun.

Beliau memberitahu, antara lain fasa kedua itu turut melibatkan usaha-usaha untuk merangsang industri aeroangkasa termasuk pengembaraan ke angkasa.

Redzuan menjelaskan penglibatan kerajaan dalam projek itu adalah sebagai pemudahcara supaya industri kereta terbang dapat dikembangkan.

“Ia adalah inisiatif swasta, kerajaan tidak ada kawal selia dan tidak pernah memantau sama ada progresnya cepat atau lambat.

“Kerajaan hanya memudah cara supaya industri ini dapat diwujudkan. Antara usaha yang telah dilakukan adalah perbincangan rentas kementerian termasuk dengan Kementerian Pengangkutan,” katanya, dipetik dari laporan Malaysia Gazette.

Pada Julai lalu, Redzuan mengumumkan kereta terbang pertama negara yang diberi nama Vector itu sudah 75 peratus siap dan dijangka akan dilancarkan seawal bulan Oktober tahun ini.

Berita berkaitan;

Bagaimanapun sebulan selepas itu beliau memaklumkan projek tersebut yang mencapai kemajuan 85 peratus hanya akan dibawa balik dari Jepun pada akhir tahun ini.

“Saya akan ke Jepun pada September untuk menghadiri Persidangan Penerbangan dan saya berharap dapat melihat kereta (terbang) yang hampir siap yang kami akan bawa pulang ke tanah air pada akhir tahun ini,” katanya, dipetik dari laporan Sinar Online, 20 Ogos lalu.

Berita mengenai projek kapal terbang ini pernah mencetuskan reaksi lucu dikalangan pengguna media sosial (netizen) apabila model skala kecil (ketika itu diperkenalkan sebagai prototaip) mula dipamerkan di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) Mac lalu.

Ramai netizen memperlekehkan reka bentuknya yang dikatakan tidak menarik sebagaimana prototaip kereta terbang luar negara, selain turut menjadi mangsa ‘troll’ apabila netizen menggambarkan model itu seakan-akan menggunakan empat biji kipas angin KDK.

Mengulas reaksi tidak menyenangkan itu, Redzuan menjelaskan reka bentuk sebenar kereta terbang pertama Malaysia kelak tidak akan kelihatan seperti model skala kecil yang dipamerkan di LIMA ’19.

“Tidaklah begitu, kenapa awak ingat itu kipas KDK ke? Tidak.

“Kereta terbang yang kita bangunkan ini sangat versatile (serba boleh). Man dan unman (Pemandu dan tanpa pemandu),” katanya. – SuaraTV

Lain-lain berita hangat;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.