Polis Tahan Lelaki Pakai Vest Berpangkat ‘Komisioner Polis’

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kerana memakai rompi (vest) berpangkat “Komisioner Polis” (CP) ketika menghadiri program keagamaan di Taman Wahyu, Sentul, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika hadir di Balai Polis Jinjang kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

“Lelaki itu ditahan kerana memiliki peralatan dan kelengkapan polis iaitu sehelai vest keselamatan bertulis Persatuan Kepolisan Komuniti Kuala Lumpur dan Selangor (PKKKLS) berwarna hijau beserta sepasang pangkat CP yang berada pada baju tersebut.

“Siasatan mendapati lencana pangkat tersebut ditempah di sebuah kedai jahit di Gombak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata polis turut menjalankan siasatan terhadap individu yang hadir pada majlis tersebut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 iaitu memiliki, membuat, menjual atau membekalkan secara haram peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis dan penggunaan pakaian seragam polis tanpa kebenaran.

“Kami memandang serius tentang perkara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak berlaku penyamaran yang mengakibatkan kekeliruan kepada orang ramai.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menyalurkannya dengan menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial beberapa keping gambar seorang lelaki memakai vest keselamatan dengan pangkat CP di pakaian tersebut dan menimbulkan keraguan netizen mengenai kelayakan lelaki berkenaan.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.