Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kenyataan Dr. Mahathir itu membuktikan Pakatan Harapan sememangnya hanya pandai berjanji bulan dan bintang semata-mata untuk ‘menipu’ rakyat dan memburukkan reputasi Barisan Nasional (BN).

“Dulu apabila bercakap ikut sedap cakap, tidak fikir implikasinya. Lain kali fikir, buat kajian terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan. Jangan ikut hati, sekarang sendiri menyesal,” katanya kepada portal UMNO-Online yang disiarkan hari ini.

Katanya, semasa BN menjadi kerajaan, parti itu sentiasa berpijak di bumi nyata dan kerap berpesan pembangkang ketika itu hanya pandai menabur janji kerana tidak berperanan sebagai kerajaan.

“Ini berbeza dengan BN yang tidak mahu menjadi populis kerana kita tahu kenyataan sebenar. Kalau kita berjanji tetapi kita tidak mampu menunaikan itu maknanya menipu. Kita bukan penipu seperti PH.

“Tapi sayangnya rakyat terlalu percaya kepada gula-gula pembangkang ketika itu sehingga membuat pilihan yang salah dalam pilihan raya lalu. Kini kebenaran terbukti juga,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE