Rais Yatim Saran Kerajaan Kaji Dulu Sebelum Mansuh Hukuman Gantung Sampai Mati

KUANTAN – Bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, hasrat kerajaan untuk meminda hukuman bunuh harus diberi sokongan, selari dengan peredaran zaman yang mana kebanyakan negara bertamadun sudah memikirkan bahawa tugas mengambil nyawa bukan kerja manusia.

Bagaimanapun Rais yang merupakan pakar Perlembagaan negara dan undang-undang berkata, kerajaan disarankan untuk membuat kajian mendalam terlebih dahulu sebelum memansuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pesalah.

“Namun jangan dipinda dahulu kecuali dengan kajian mendalam termasuk melibatkan pakar-pakar berkaitan penjara, psikologi, pendidikan, penguatkuasaan dan wakil-wakil daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk memikirkan format terbaik,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Ngeteh Budi di Gelanggang Seni Warisan, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan berhasrat memansuhkan hukuman gantung sampai mati dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kertas kerja mengenainya kini dalam fasa akhir malah Jabatan Peguam Negara telah memaklumkan pemansuhan itu bakal dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat bermula 15 Oktober ini.

Hasrat tersebut bagaimanapun mendapat bantahan segelintir pihak.

Antaranya, keluarga tiga beranak yang mati ditikam selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau di stor mereka di Wakaf Mek Zainab tahun lalu.

Khai Eng Choon, abang kepada seorang daripada mangsa, berkata beliau dan keluarganya berpendapat kerajaan tidak sepatutnya membuat keputusan itu kerana ia tidak adil kepada mangsa dan keluarga mereka.

Dalam kejadian pada 15 November tahun lalu, adik Eng Choon, Kha Eng Ni dan isterinya, Chua Joo Seok, maut ditikam dalam kejadian di stor di rumah mereka di Taman Bahagia.

Turut terbunuh dalam kejadian ialah anak lelaki pasangan itu, Kha Zee Hanz, manakala seorang lagi anak perempuan mereka, Eng Ni, cedera parah.

Semua mangsa ditikam pada bahagian badan termasuk dipukul di kepala menggunakan objek keras. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.