Manifesto PH, Lepas Kahwin Habuk Pun Tak Ada, Kata Najib

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) sememangnya berniat untuk menipu rakyat apabila merangka manifesto mereka sebelum PRU14 lalu.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, perkara itu terbukti dengan pengakuan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

“Semalam kecoh pengakuan Pengerusi Pakatan Harapan bahawa masa mereka tulis manifesto mereka dulu, mereka tak sangka akan menang, jadi sekarang ia jadi beban.

“Biar saya tolong translate, maksud sebenar mereka adalah manifesto itu ditulis dengan niat nak menipu rakyat, tanpa niat pun nak tunaikan. 

“Dia ibarat, pemuda yang sedang cuba nak pikat gadis, berjanji bulan dan bintang, tapi lepas dapat dan kahwin, habuk pun tak ada,” tulis Najib dalam laman sosial Facebook beliau.

Tambah Najib lagi, perkara itu nyata berbeza ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang sememangnya merangka manifesto dengan niat untuk melaksanakan perkara-perkara yang dijanjikan.

“Saya kongsi sedikit, semasa penyediaan manifesto BN dulu, saya berbincang dengan hampir semua menteri besar dan ketua menteri, dengan semua kementerian, untuk lihat apa lagi yang boleh kita berikan kepada rakyat, berdasarkan kemampuan kewangan negara.

“Hanya beberapa jam sebelum pengumuman, saya masih meneliti dan membetulkan manifesto, sampai ada pengumuman seperti tambahan BR1M ditambah betul-betul last minute, ada pegawai saya sendiri pun terkejut semasa saya umum.

“Sama macam bajet tahunan, bila merangka manifesto ini, saya sentiasa berpegang kepada firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah Ayat 1;

“Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Wallahu’alam,” tulis beliau.

Najib juga menyelar kerajaan PH di bawah pimpinan Mahathir yang dakwanya hanya mencari alasan berbanding berusaha untuk menunaikan manifesto mereka.

“Di sebalik sindiran Janji Dicapati oleh pembangkang dulu, rekod kita menunjukkan sebahagian besar janji memang kita telah tunaikan.

“Ini Manifesto PH, tak cuba pun nak tunaikan, sebaliknya cari alasan. Membina Negara Memenuhi Harapan dah jadi Membinasakan Negara Memusnahkan Harapan,” tulis beliau lagi.

Semalam, Mahathir mendedahkan beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya PH.

Mahathir berkata PH mewujudkan manifesto mereka dengan memikirkan bahawa mereka tidak akan menjadi kerajaan. 

“Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar,” kata Mahathir. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.