Lelaki Sebar Munafik 2 Di Media Sosial Berdepan Tindakan Mahkamah

HULU KLANG: Penerbit, Datuk Dr Yusof Haslam, akan mengambil tindakan mahkamah terhadap seorang lelaki berusia 30-an yang menyebarkan rakaman filem Munafik 2 tanpa kebenaran di media sosial.

Produser Skop Productions itu berkata, pihaknya melalui peguam yang dilantik, Aizul Rohan Saiful Roger & Co, memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Taiping pada 8 Oktober lalu bagi menghalang individu terbabit menyebarkan sama ada filem penuh atau mana-mana bahagian karya arahan Syamsul Yusof berkenaan.

“Kalau diikutkan, ada 10 individu yang menyebarkan filem ini di media sosial, tetapi mereka sudah memadamkan rakaman terbabit selepas kami meminta pihak berkenaan berbuat demikian.

“Bagaimanapun lelaki terbabit mencabar kita apabila enggan berbuat demikian. Kita akan berbincang dengan pihak peguam bagi menentukan untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang turut membuat laporan polis pada 20 September lalu di Balai Polis Setapak berkata, tindakan itu diambil bagi memberi pengajaran kepada individu tidak bertanggungjawab, sekali gus membendung permasalahan yang sekian lama membelenggu penggiat industri filem.

“Kami tetap mengambil tindakan sendiri bagi mempertahankan industri perfileman tempatan, selain menyedarkan masyarakat mengenai isu cetak rompak yang dianggap barah dalam dunia sinema kita,” katanya.

Menurut Yusof, surat perintah mahkamah sudah dihantar kepada individu terbabit kira-kira jam 10.20 pagi tadi dan sebutan kes akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Taiping pada 22 Oktober ini.

“Isu yang timbul ini memberikan interpretasi buruk terhadap industri filem kita. Saya dapat maklum balas daripada penonton di Indonesia yang mengatakan, untuk apa mereka ke panggung kalau boleh menonton filem ini di media sosial?” katanya.

Filem yang dibintangi oleh Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Mawi dan Syamsul itu mencatat kutipan mencecah RM43 juta apabila ditayangkan di negara ini pada 30 Ogos lalu, selain meraih RM4 juta daripada 116 pawagam di Indonesia. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.