Keluarga Mangsa Bunuh Tolak Cadangan Mansuh Hukuman Mati

KOTA BHARU – Keluarga tiga beranak yang mati ditikam selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau di stor mereka di Wakaf Mek Zainab tahun lalu, tidak bersetuju keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori negara ini.

Khai Eng Choon, adik kepada seorang daripada mangsa, berkata beliau dan keluarganya berpendapat kerajaan tidak sepatutnya membuat keputusan itu kerana ia tidak adil kepada mangsa dan keluarga mereka.

“Kami berpendapat hukuman mati mandatori juga tidak cukup untuk pesalah bunuh seperti suspek yang membunuh adik saya, isterinya dan anak saudara saya dengan kejam tanpa belas kasihan.

“Jika hukuman mati mandatori juga dimansuhkan. Apa lagi bentuk hukuman yang sesuai kepada pesalah yang tidak berhati perut dan tiada perikemanusiaan ini,” kata penoreh getah berusia 52 tahun yang berasal dari Bachok itu.

Bapa kepada empat anak yang kini menjaga dua daripada tiga anak saudaranya yang kematian kedua ibu bapa mereka dalam pembunuhan itu, berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula keputusan itu.

Adik Eng Choon, Kha Eng Ni dan isterinya, Chua Joo Seok, maut ditikam dalam kejadian di stor di rumah mereka di Taman Bahagia.

Turut terbunuh dalam kejadian 15 Novermber tahun lalu itu ialah anak lelaki pasangan itu, Kha Zee Hanz, manakala seorang lagi anak perempuan mereka, Eng Ni, cedera parah.

Semua mangsa ditikam pada bahagian badan termasuk dipukul di kepala menggunakan objek keras.

Kabinet sebelum ini bersetuju pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, dilaporkan berkata rang undang-undang bagi memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.