Jasa Tun Ghafar Lebih Besar Daripada Tun Khalil, Kata Tamrin

SHAH ALAM – Anak kepada Tun Ghafar Baba mempersoalkan tindakan Yang Di Pertua Negeri Melaka (TYT), Tun Khalil Yaakob yang enggan bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri menganugerahkan gelaran tertinggi Melaka diberikan kepada arwah bapanya.

Tamrin Abdul Ghafar berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Setiausaha Politik kepada Tun Khalil sendiri bahawa TYT Melaka itu tidak bersetuju anugerah yang membawa gelaran Dato Seri Utama tersebut diberikan kepada arwah bapanya.

“Kepada kami sekeluarga penolakan itu adalah perkara kedua, lagi pun ia tidak boleh dibawa ke kubur bagi menentukan Syurga dan Neraka  bagi seseorang. 

“Yang menjadi tanda tanya ialah apakah Tun Khalil menganggap jasa arwah tidak setimpal dengan anugerah yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri; apakah beliau selaku Ketua Menteri  dahulu tidak pernah berjasa dan berbakti kepada rakyat dan negeri Melaka atau pernahkah beliau merompak  kawasan balak dan kekayaan negeri seperti yang pernah dilakukan oleh beberapa Ketua Menteri dan Menteri Besar sebelum ini? 

“Tahukah beliau arwah Tun Ghafar merupakan Ketua Menteri pertama yang dipilih rakyat sejurus selepas Merdeka.

“Sedarkah Tun Khalil bahawa arwah Tun Ghafarlah yang bertanggungjawab  melakar Bendera Negeri Melaka yang maseh berkibar sehingga hari ini?

“Malah jasa arwah Tun Ghafar, kalau mahu disebut jauh lebih besar kepada rakyat dan Negeri Melaka jika dibandingkan dengan Tun Khalil Yaakob sendiri,” tulis beliau dalam satu kenyataan. 

Malah beliau juga mempersoalkan tindakan Tun Khalil itu sedangkan penganugerahan gelaran berkenaan telah dipersetujui oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

“Saya sedar walaupun berlainan parti tetapi Saudara Adli dan rakan – rakan beliau seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub,  Mazlan Aliman  dan lain-lain amat menghormati arwah Tun Ghafar,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Tamrin berkata jika disingkap sejarah lampau, ramai yang mengetahui apa yang telah dilakukan oleh Tun Khalil semasa memegang jawatan Menteri Besar Pahang dan Menteri Penerangan dahulu.

“Mungkin ramai tidak perasan mengapa Tun Abdullah Badawi  melantik beliau sebagai TYT Melaka sejurus selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri menggantikan Tun  Dr Mahathir.

“Kita juga punyai cukup bukti bagaimana  Tun Khalil selaku TYT telah secara terang-terangan melibatkan diri melawat beberapa Bilik Gerakan UMNO /BN  sama ada di Melaka mahupun beberapa Bilik Gerakan UMNO /BN di Pahang  dalam pilihanraya yang lepas dan memberi nasihat serta rangsangan kepada petugas – petugas parti.

“Beliau boleh menafikan tapi kita punyai ramai saksi yang sanggup tampil ke hadapan,” katanya.

Tambah Tamrin, sudah sampai masanya kerajaan Melaka melantik anak tempatan untuk menggalas jawatan sebagai TYT.

“Bermula dengan Tun Leong Yew Koh dari Perak sebagai TYT pertama , kemudian diikuti oleh Tun Malik dari Negeri Sembilan sehinggalah perlantikan Tun Khalil dari Pahang sejak 14 tahun yang lepas, semua TYT Melaka bukan merupakan anak Melaka.

“Kepada Saudara Adli, laksanakanlah tanggungjawab yang telah diamanakan dengan sebaik mungkin.

Buat pertama kalinya Rakyat Melaka telah menolak UMNO yang telah memerintah negeri itu sejak sekian lama.

“Rakyat Melaka telah memilih Pakatan Harapan, yang seterusnya mengangkat Saudara sebagai Ketua Kerajaan Melaka.

“Saudara dipilih oleh rakyat, bukannya oleh TYT,” kata Tamrin. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.