Azmin Yakin Pertahan Jawatan Timbalan Presiden PKR

SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan keyakinannya untuk terus diberi amanah menggalas tugas sebagai Timbalan Presiden PKR. 

Beliau berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan sentimen, sokongan semasa serta prestasi beliau sepanjang 20 tahun memimpin perjuangan PKR.

“Insya-Allah, dengan mood dan dokongan yang ada, saya boleh nyatakan, saya akan terus diberikan tugas dan amanah ini.

“Saya akan jalankannya dengan baik dan penuh bertanggungjawab,” katanya ketika menjawab soalan penonton yang bertanyakan apa yang akan terjadi kepada beliau sekiranya tewas kepada pesaingnya, Rafizi Ramli untuk jawatan itu.

Azmin terdahulu hadir di Program Bicara Minda bertajuk Ekomoni: Kesejahteraan Untuk Semua di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini malam tadi.

Tambah Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu lagi, beliau yakin dengan kematangan ahli PKR untuk membuat pilihan terbaik dalam pemilihan parti dan menghormati apa juga keputusan yang dibuat.

Katanya, pemilihan adalah satu proses biasa dalam parti yang mengamalkan demokrasi dengan mana-mana ahlinya boleh menawarkan khidmat untuk bertanding bagi sesuatu jawatan.

Rafizi berada di kedudukan hadapan apabila berjaya memintas Azmin dengan hanya 48 undi.

Rafizi berjaya merapatkan jurang saingan di antara dirinya dan Azmin ketika minggu ketiga pemilihan, dengan mendapat kemenangan tipis di Kelantan dan Pahang.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga menang selesa di Terengganu dengan majoriti 289 undi apabila memperolehi 5,211 undi manakala Azmin mendapat 4,922 undi.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menamakan ‘pemenang’ kerana sekitar 75 peratus pemilih yang layak masih lagi belum mengundi.

Pemilihan PKR masih berlansung sehingga 10 November hadapan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.