GV4 Jawapan Untuk Perindu Aishah

Menjadi penyanyi selepas pulang dari belajar di luar negara, terkenal dalam negara dan menjadi calon pilihan raya.

Aishah sering muncul di pentas nyanyian dan beraksi di bawah suluhan lampu limpah.

Kini sekali lagi penyanyi Janji Manismu itu akan menunjukkan aksinya melalui pertandingan Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Ditanya kesanggupannya berdepan dengan kemungkinan dikecam – antara lain ekoran pembabitannya dalam politik, Aishah berkata risiko itu adalah asam garam hidup yang sentiasa dihadapi sesiapa saja.

“Setiap orang sudah tentu ada pegangan, dan idealogi adalah hak masing-masing.

“Kecaman dan kritikan adalah asam garam hidup saya tidak kira apa bidang pun.

“Apabila keputusan dibuat, bermakna saya dah timbang setiap aspek kebaikan dan keburukan. Saya bersiap sedia menerima apa saja komen,” katanya kepada Malaysiakini.

Aishah bakal berentap dengan 11 peserta lain dalam GV4 iaitu Liza Hanim, Elyana, Syura, Haida, Raja Azura, Aqasha, Lan Kristal, Tia Jinbara, Firman Siagian, Hazami dan Ferhad mulai 29 Oktober ini.

Suatu ketika dulu Aishah menganggotai Umno sebelum mengubah haluan menyertai PAS kemudian beralih arah kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) sejak 2015 ekoran perkembangan semasa politik ketika itu.

Semasa menganggotai PAS Aishah pernah menjadi calon parti itu untuk parlimen Jempol semasa pilihan raya umum ke-13 kira-kira empat tahun lalu.

Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin, 52, sebelum ini juga pernah meminta semua pihak bersikap terbuka dan tidak mengaitkan penyertaannya dalam GV4 dengan politik.

Malah Aishah juga komited untuk memberi sepenuh perhatian terhadap program realiti itu dan meletakkan segala hal tidak berkaitan ke tepi.

Ini kerana Aishah menganggap kehadirannya dalam GV4 itu sebagai ‘hadiah’ buat peminat yang lama mahu melihat dia kembali memeriahkan industri seni suara tanah air.

“Peminat ramai merungut kerana sudah lama tidak dapat melihat saya membuat persembahan di kaca televisyen.

“Apabila diberi peluang bersama GV4, saya pun terimalah dan anggap ia sebagai hadiah untuk peminat setia,” kata penyanyi yang turut diingati dengan lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah itu.

Dalam GV4 Aishah bakal berdepan pelbagai cabaran. Selain perlu membawakan lagu dalam pelbagai genre, dia juga perlu memantapkan vokal kerana usia peserta lain jauh lebih muda daripadanya.

“Saya menyahut cabaran GV4 untuk menyanyikan lagu dalam pelbagai genre tanpa menghilangkan identiti sendiri.

“Untuk bertanding dengan yang lebih muda saya perlulah bersiap sedia dan menjaga kesihatan fizikal, emosi dan spritual,” katanya.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.