Penyokong Palanivel Serah Memo Gesa ROS Halang Mesyuarat Agung MIC

PUTRAJAYA – MIC di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sedang dalam persiapan rapi untuk mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan ke-70 dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad ini.

 

Tetapi bagi penyokong bekas presiden, Datuk Seri G. Palanivel yang kecewa dengan kepimpinan Menteri Kesihatan itu pula bertindak menyerahkan  memorandum bantahan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebagai tindakan menggesa pihak berkuasa itu menghentikan perhimpunan agung parti mewakili kaum India itu.

 

Memorandum itu diserahkan oleh A.K Ramalingam di pejabar RoS, Jalan Diplomatik, Putrajaya di sini semalam.

 

Menurutnya,  Subramaniam gagal menunjukkan laporan kewangan yang telah diaudit kepada umum.

 

Ramalingam bersama para penyokongnya telah menyerahkan memorandum kepada RoS dan mahu  menggesa badan itu menghentikan AGM yang akan berlangsung pada 16 Oktober ini.

 

Menurutnya laporan kewangan dan laporan tahunan perlu diserahkan kepada RoS dalam tempoh 60 hari selepas mesyuarat agung tahunan sesebuah parti itu diadakan.

 

“MIC dibawah kepimpinan Subramaniam gagal menunjukkan sebarang laporan kewangan sejam tiga tahun lalu. Ia merupakan satu kesalahan besar mengikut peruntukan undang-undang dalam RoS. Malangnya, agensi kerajaan yang bertanggungjawab mendaftar pertubuhan gagal bertindak dalam hal ini,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan semasa dibawah kepimpinan Palanivel, pegawai RoS pernah hadir sendiri ke pejabat MIC pada lewat petang untuk menyerahkan surat.

 

Namun katanya, sejak tiga tahun kebelakangan ini, kepimpinan Subramaniam gagal menunjukkan laporan berkenaan dan tiada tindakan RoS setakat ini sangat mengejutkan.

 

“Berikutan tiada tindakan RoS, puak Subramaniam menjalankan mesyuarat dan persidangan parti sesuka hati dan yang terbaharu AGM pada Ahad ini yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib. Kehadiran PM ke AGM haram di sisi undang-undang ini harus dihalang segera.

 

“Oleh itu, atas kesalahan tiada laporan kewangan tahunan lengkap, kehilangan dana politik RM33 juta dan berdasarkan ketirisan lain, RoS perlu melarang AGM MIC pada Ahad ini,” ujar Ramaligam lagi.

 

Malah beliau menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengempur AGM itu sekiranya RoS gagal bertindak segera dan akan menuntut keadilan di sana.

 

“Adalah amalan biasa puak Subramaniam membuat laporan polis sebagai cubaan menghalang kehadiran kami tetapi kamu (Subramaniam) janganlah ulangi perbuatan itu kali ini,kami bukan datang nak bergaduh di sana, kamu hanya mahu menuntut keadilan di AGM itu.

 

“Agak kelakar juga tindakan Subramaniam apabila dia mengajak ahli di luar parti supaya kembali semula ke MIC tanpa menyedari bahawa kedudukannya sebagai pemimpin nombor satu parti bakal tergugat,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.