Datuk Vida Mengaku Tidak Bersalah Gagal Kemuka Penyata GST

IPOH – Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas 32 pertuduhan selepas gagal membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan mengemukakan penyata cukai itu sejak April tahun lalu.

 

Pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd. itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

 

Hasmiza, 45, berdepan dengan 16 pertuduhan selepas gagal membayar cukai yang genap masa dan kena bayar pada 4 April 2015 hingga Julai 2016 yang kesemuanya berjumlah lebih kurang RM4.2 juta.

 

Beliau pada masa yang sama turut didakwa atas 16 kesalahan lagi kerana gagal mengemukakan penyata cukai pada tempoh yang sama.

 

Kesemua 32 pertuduhan itu masing-masing dibuat mengikut Seksyen 41(7) Akta GST 2014 dan Seksyen 41(6) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

 

Mahkamah pada akhir prosiding membenarkan jaminan ke atas tertuduh yang diwakili dua orang peguam sebanyak RM1.76 juta bagi kesemua 32 pertuduhan.

 

Kes akan disebut semula pada 15 November depan. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.