Bersih 5.0 Umpama ‘Arab Spring’, Bawa Kecelakaan Besar Kata Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan pembangkang yang menganjurkan demonstrasi jalanan bersiri Bersih 5.0 pada 19 November depan supaya mengambil iktibar dari insiden ‘arab spring’ yang akan membawa kecelakaan besar kepada rakyat.

 

Beliau menyifatkan, demonstrasi tersebut seperti buah lazat namun hakikatnya buahnya berulat dan beracun.

 

“Bahkan boleh membunuh mangsanya lebih dahsyat daripada wabak penyakit biasa yang meragut mangsanya tanpa batas.

 

“Banyak darah yang mengalir, korban yang gugur, menjadi pelarian melarikan diri dan yang menunggu giliran (untuk dibunuh),” katanya memetik harakahdaily.net.

 

Katanya, Arab Spring mutakhir yang berlaku di Tunisia dibangkitkan di atas nama demokrasi dan pilihan raya bersih disamping menentang penyelewengan dan rasuah akhirnya mencetuskan huru-hara di kebanyakan negara Arab.

 

Beliau memberikan contoh arab spring supaya rakyat lebih muhasabah dengan bijak, ikhlas dan adil.

 

“Mengapa gelombang boleh berlaku seperti berulang dengan natijah yang memusnahkan dan boleh menenggelamkan mangsanya ke dalam bumi sejarah.

 

“Contoh masih paling panas ialah Syria yang menjadi medan perlumbaan paling sengit dalam kalangan kuasa besar perlu difahami,” katanya.

 

Hadi yang juga Naib Presiden Majlis Ulama Dunia menegaskan, cubaan untuk mencipta gerakan sama di Malaysia hanya akan mendatangan natijah berat kepada rakyat.

 

“Di Malaysia tiada musim bernama ‘spring’, yang ada hanya musim hujan dan tidak hujan. Maka jangan ciptakan musim yang tidak ada di sini.

 

“Tunggu dan beristiqamah bersama Islam, nescaya selamat, adapun tanpa Islamnya menjadi laknat,” katanya lagi.

 

PAS sejak penganjuran Bersih 4.0 mengambil pendekatan untuk tidak menyertai demonstrasi berkenaan.

 

Keputusan itu dibuat oleh PAS selepas tidak mahu lagi dipergunakan DAP menyebarkan fahaman sekular.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.