‘Awie Orang Pertama Mengaku Keturunan Raja Siam, Perlu Kemuka Bukti!’ – Persatuan Sejarah Kedah

Vokalis kumpulan Wings, Awie dicabar untuk mengemukakan dokumen salasilah keluarga yang membuktikan bahawa dia merupakan keturunan Raja Siam melalui moyangnya yang bernama Raja Sulaiman kata Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Dr. Wan Shamsudin Mohd Yusof.

 

Beliau berkata, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, adalah orang pertama di negara ini yang mendakwa diri­nya berketurunan Raja Sulaiman yang mula memerintah Kerajaan Melayu Singgora pada 1620.

 

“Dia (Awie) perlu mengemukakan bukti salasilah keluarga­nya bagi mengesahkan dakwaannya yang berketurunan Raja Sulaiman.

 

“Dokumen tersebut perlu dikemukakan kepada kedutaan Thailand dan kerabat Raja Sulaiman untuk memastikan kesahihannya,” katanya, petik Kosmo.

 

Tambah Wan Shamsudin, selepas kejatuhan Kesultanan Singgora semasa pemerintahan Raja Sulaiman ramai kerabatnya lari ke kawasan lain bagi menyelamatkan diri.

 

“Terdapat beberapa peme­rintah di Thailand yang berketurunan Raja Sulaiman termasuklah Perdana Menteri Thailand ke-22 iaitu Jeneral Chavalit Yongchaiyudh dan bekas ketua komander Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Niphon Srithorn,” ujarnya yang merupakan penulis buku Sejarah Tanah Melayu dan buku Sejarah Sastera Melayu Moden.

 

Terdahulu, media melaporkan Awie mendakwa dirinya merupakan keturunan anak Raja Siam melalui moyangnya Raja Sulaiman selepas melangsungkan perkahwinannya dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 29, di Masjid Sultan Sulaiman Shah Songkhla, Thailand, minggu lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.