Video: Malaysia Berpegang Kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah – PM

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak seluruh rakyat negara ini bersama-sama dalam melaksanakan transformasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpegang kepada pendekatan wasatiyyah, bersendikan Maqasid Syariah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

 

Beliau berkata walaupun negara berdepan cabaran ekonomi dan politik, cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang makmur akan tetap diteruskan.

 

 

“Hari ini kita berhadapan dengan corak ekstremisme yang pelbagai bentuk wajahnya. Di satu pihak, ekstremis radikal seperti kumpulan IS membuat onar mencalar kesucian wajah Islam yang sebenar.

 

“Pada satu hujung yang lain, muncul pula kelompok pelampau yang menjadikan liberalisme sebagai akar-budi mereka. Pelampau liberalisme ini telah melonggarkan segalanya hatta agama.

 

“Ini juga satu ekstrem yang membawa ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan negara,” kata Najib dalam perutusan Maal Hijrah 1437/2015 beliau di laman blog NajibRazak.com.

 

Justeru beliau berharap semangat hijrah menjadi sumber kesungguhan dan iltizam kepada rakyat Malaysia untuk menjadi umat terbaik, sekaligus mampu meluaskan agama Islam ke seluruh dunia.

 

Najib turut menekankan bahawa sejarah menjadi sumber penting kepada negara dalam membentuk wawasan untuk menjadi sebuah negara Islam moden dan berpendapatan tinggi.

 

“Wawasan nasional kita adalah untuk menjadi sebuah Negara Islam moden yang maju dan berpendapatan tinggi. Manakala wawasan global kita pula ialah untuk menjadikan dunia yang mengandungi panca negara, bangsa, bahasa dan agama ini sebagai medan kehidupan yang sejahtera dan makmur,” katanya.

 

Jelas Najib, perkara yang sama turut ditekankan beliau semasa berucap dalam perbahasan umum Sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-70 di New York baru-baru ini.

 

“Saya menegaskan sesebuah Negara Islam itu berperanan untuk mempromosikan perlumbaan dari segi kemuliaan, pengetahuan, kebaikan, simpati dan merendah diri, tetapi yang penting, tanpa paksaan,” katanya.

 

Terdahulu Perdana Menteri turut sama menyertai lebih 5,000 jemaah pada majlis bacaan Yasin dan doa selamat bagi menyambut kedatangan Maal Hijrah 1437H di Masjid Negara, petang tadi.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1436H disusuli doa awal tahun 1437H kemudian ia diteruskan dengan solat Maghrib dan diikuti bacaan surah Yasin, doa selamat dan solat Isya’.

 

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

 

Sambutan Maal Hijrah 1437H peringkat kebangsaan bertemakan Perpaduan Nadi Transformasi Negara akan berlangsung esok dengan perarakan dari Dataran Merdeka ke Masjid Negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.