Video: Lelaki Cuba Rempuh Polis, Elak Ditahan

Georgetown – Seorang lelaki dan wanita ditahan selepas kereta yang mereka naiki dikejar hampir 10 kilometer dan cuba merempuh polis di sini hari ini.

 

Polis juga terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta Proton Satria itu menyebabkan kereta itu terbabas dan melanggar tembok di susur masuk Jambatan Pulau Pinang di sini.

 

 

“Wanita itu dipercayai teman wanita lelaki terbabit dan polis menemui satu paket dadah heroin dan satu paket syabu dalam kereta berkenaan selain alat penimbang,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Salawati Saad.

 

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, polis dari Bahagian Siasatan Narkotik Barat Daya cuba menahan kereta itu di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas apabila melihat pemandunya dalam keadaan mencurigakan.

 

“Lelaki terbabit enggan memberhentikan kereta itu sebaliknya memecut laju ke arah Sungai Ara dan Relau.

 

“Ketika melalui jalan Bukit Gambir menghala ke USM (Universiti Sains Malaysia) kereta itu beberapa kali cuba menghimpit motosikal dinaiki polis yang mengejarnya menyebabkan polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang kereta itu,” katanya di sini hari ini.

 

Beliau berkata kereta itu turut melanggar dua motosikal yang menghala ke Gelugor ketika melalui persimpangan lampu isyarat Batu Uban, menyebabkan dua lelaki cedera dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

 

Salawati berkata polis sekali lagi melepaskan satu das tembakan yang mengenai tayar belakang kereta terbabit menyebabkan kereta itu terbabas.

 

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati lelaki dan wanita yang kedua-duanya berusia 30-an itu positif dadah dan lelaki terbabit juga mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.