TunM Akui Perjanjian Konsesi Tol Semasa Pentadbirannya Tidak Dirangka Baik

KUALA LUMPUR – Kenaikan kadar tol seperti diumumkan di 12 syarikat konsesi lebuh raya semalam yang akan berkuatkuasa Khamis ini semakin mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.

 

Rata-ratanya menyifatkan kenaikan tersebut tidak berpatutan selain menambah bebanan kepada pengguna lebuh raya.

 

Tinjauan di media sosial juga mendapati beberapa kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kelemahan dalam perjanjian konsesi tol semasa pentadbirannya turut menjadi viral.

 

Memetik kenyataan beliau yang disiarkan Bernama pada 8 Januari 2007, Tun Mahathir berkata “tol boleh dinaikkan tetapi kadarnya tidak seharusnya sangat tinggi”.

 

Tun Mahathir juga mencadangkan supaya perjanjian konsesi dirundingkan semula sambil berkata syarikat pemegang itu mungkin boleh bertimbang rasa selagi mereka tidak mengalami kerugian.

 

Dalam kenyataan bertarikh 9 Januari 2007 yang dipetik dari portal Malaysia Today, Malaysiakini dan turut disiarkan di Harakahdaily pula, Tun Mahathir mengakui bahawa perjanjian konsesi tol tidak dirangka dengan baik semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

 

“Kabinet hanya meluluskan dari segi prinsip. Mereka tidak betul-betul mengkaji implikasi beberapa bahagian dalam perjanjian tersebut,” Malaysia Today memetik kenyataan beliau ketika itu.

 

“Anggota kabinet bukan pakar-pakar. Mereka adalah ahli-ahli politik dan sesetengah ahli politik seperti saya boleh jadi begitu bodoh.

 

“Apabila ada perjanjian, perjanjian itu dibuat oleh pegawai-pegawai dan perjanjian yang diserahkan kepada kabinet biasanya tidak mempunyai perinciannya,” jelas beliau lagi dipetik dari Malaysiakini.

 

Kenaikan tol yang diumumkan semalam bagi penjanjian konsesi tol yang ditandatangani semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri merekodkan kenaikan tertinggi di antara 36% hingga 80% melibatkan lebuh raya Silk (80%), Besraya (54%), Guthrie (36%), Akleh (67%), NPE (44%) dan SMART (50%). – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!