Suami Umie Aida Didakwa Sabotaj Perbankan, Kewangan Negara

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh didakwa di Mahkamah Majistret di atas tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

 

Khairuddin, 53, dan Matthias Chang, 65, didakwa melakukan kesalahan itu di lima lokasi iaitu pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; Balai Polis WaiChan, Hong Kong dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini.

 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

 

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh yang memakai pakaian lokap dan bergari hanya mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

 

Majistret Siti Radzeah Kamarudin tidak membenarkan ikat jamin.

 

Ketika prosiding, peguam Mohamad Hanif Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin memohon mahkamah membenarkan anak guamnya yang juga merupakan suami kepada aktres Umie Aida, dibenarkan jaminan dan meminta tarikh pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi dipercepatkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.