Siasatan SRC International Siap Akhir Tahun Ini – SPRM

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata siasatannya terhadap SRC International (SRC) boleh disiapkan menjelang akhir tahun ini, lapor The Star Online.

 

Portal itu memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebagai berkata suruhanjaya itu akan cuba sehabis mungkin untuk melengkapkan siasatannya terhadap SRC, bekas anak syarikat milik firma pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB), pada akhir tahun ini.

 

Bagaimanapun, beliau tidak boleh bercakap apa-apa mengenai “orang berkuasa” yang sedang dalam siasatan berkaitan SRC.

 

“Tak, tak, tak. Kita tidak boleh sebut siapa dia tetapi saya yakin kita boleh siapkan menjelang akhir tahun ini,” katanya dipetik sebagai berkata kepada The Star Online.

 

Semalam, timbalan ketua pesuruhjaya (pengurusan dan profesionalisme) SPRM bersara Datuk Seri Zakaria Jaafar berkata SPRM pada masa ini sedang menjalankan siasatan membabitkan “orang paling berkuasa dalam negara”.

 

Individu yang tidak dinamakan itu sedang disiasat berkaitan SRC, syarikat di bawah Kementerian Kewangan; dan membabitkan jumlah derma RM2.6 bilion berkenaan, kata Zakaria dalam ucapan persaraannya.

 

Zakaria menggambarkan siasatan itu sebagai cabaran terbesar dihadapi suruhanjaya itu sepanjang kerjayanya dan ia adalah “siasatan terbesar sejak 1967”.

 

SPRM dilaporkan cuba mendapatkan keterangan daripada 3 saksi utama, yang dipercayai berada di luar negara.

 

Salah seorang daripadanya ialah bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB Nik Faisal Ariff Kamil, yang juga pengarah SRC.Zakaria juga menggesa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Mohamed Apandi Ali untuk menghidupkan semula pasukan petugas khas menyiasat syarikat sarat hutang 1MDB.

 

Sementara itu, Shukri juga mengetepikan kebimbangan kewujudan “tangan tersembunyi” yang mungkin menjejaskan kerja suruhanjaya itu.

 

“Tidak ada sesiapa boleh campur tangan kerja SPRM. Saya akan memastikannya. Bagi kami tidak ada masalah dengan campur tangan.“Kita akan teruskan dan melengkapkan siasatan,” katanya, menambah SPRM bekerja dengan bebas, telus dan berkecuali.

 

Shukri juga enggan menyatakan bila SPRM akan menghabiskan siasatannya terhadap derma RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi akaun bank peribadinya sebelum pilihan raya umum pada 2013.

 

Katanya, SPRM tidak akan memberikan tarikh tertentu berikutan “siasatan yang kompleks, membabitkan pihak luar”.

 

“Kes RM2.6 bilion itu akan mengambil masa kerana ia membabitkan (perkara) luar negara. Kebanyakan bukti dari luar negara,” katanya.

 

Sama ada Najib akan dipanggil untuk siasatan atau tidak, Shukri berkata:”Kita akan panggil sesiapa saja yang terbabit dalam kes ini. Tidak kira siapa mereka.”

 

Portal tersebut turut melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed memberi jaminan ketelusan awam dalam kes berprofil tinggi yang sedang disiasat suruhanjaya itu, dan meminta diberikan masa untuk menyiapkan siasatan.

 

Semalam, Abu Kassim mengumumkan beliau menghabiskan cuti sakitnya selepas menjalani pembedahan lebih awal dan kembali bekerja, memandangkan masih ada “kerja yang belum diselesaikan” untuk dibuat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.