Rakaman CCTV Bantu Siasatan Nahas DUKE

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus kanan sebuah syarikat konsortium lebuh raya membe­ritahu bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diserahkan kepada pihak polis berhubung tragedi di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE), Mei lalu adalah dari lorong sembilan iaitu lorong Smart Tag, Plaza Tol Air Panas.

 

Mohd. Hasrul Nizam Hanipah yang merupakan Pengurus Kanan Operasi Tol dan Perhubungan Awam di syarikat Konsortium Lebuhraya Utara Timur Kuala Lumpur Sdn. Bhd. berkata, dia telah mengeluarkan arahan kepada eksekutif operasi tol untuk meneliti rakaman CCTV sama ada terdapat kumpulan Perodua Myvi melalui DUKE pada hari kejadian ataupun tidak.

 

“Saya mengarahkan demikian selepas menerima surat rasmi da­ripada seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden untuk membuat semakan pada CCTV memandangkan dari segi operasi, pihak kami akan memberi bantuan kepada polis sekiranya ada keperluan munasabah untuk membantu siasatan.

 

“Rakaman tersebut diambil daripada dekoder rakaman CCTV dari lorong sembilan Plaza Tol Air Panas, Setapak dan dipindahkan ke dalam komputer sebelum diserahkan kepada pihak polis,” kata saksi pendakwaan keempat itu di Mahkamah Majistret di sini semalam.

 

Mohd. Hasrul Nizam sebelum itu memaklumkan bahawa dia telah berkhidmat dengan syarikat yang mengendalikan DUKE selama enam tahun sejak tahun pembukaannya pada 2009 dan bertanggungjawab menyelia tugas-tugas operasi tol termasuk pengurusan sistem maklumat.

 

Dalam kes itu, juruteknik komputer, Mohamad Fizal Reza Jamauddin, 31, dan Penolong Pengurus restoran, Siti Noor Aini Mohd. Said, 35, dibicarakan atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 25, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa.

 

Kedua-duanya yang merupakan pemandu kereta Perodua Myvi didakwa melakukan perbuatan itu di antara pukul 12.31 pagi dan 1.05 pagi, 2 Mei lalu di Kilo­meter 6, DUKE dari arah Ulu Klang ke Jalan Duta di sini.

 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim dan Nadiah Malek Fauzi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam Omar Bakhi Ahmad dan S.N. Seelan.

 

Perbicaraan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas bersambung esok. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.