PAS Kekal Pendirian Tidak Sertai Pakatan Baharu – Mohd Amar

Kota Bharu – PAS kekal dengan pendiriannya untuk tidak menyertai Pakatan Harapan yang dibentuk DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

 

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS juga tidak akan memberi ruang kepada DAP dan Amanah malah bersedia menentang kedua-dua parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

 

“Setakat ini pendirian kita tidak berubah kerana kita nampak tidak ada keperluan untuk bersama DAP dan Amanah. Kita tidak akan bersama dalam pakatan pembangkang baharu selagi ada DAP dan Amanah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan PKR sebelum ini yang masih mengharapkan PAS menyertai pakatan pembangkang selain menggesa sekutu-sekutunya dalam pakatan itu menghentikan perbalahan sesama sendiri dengan tidak mencampuri urusan dalaman parti lain.

 

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata pada masa ini, parti itu hanya menjalin kerjasama dengan PKR termasuk dari segi agihan kerusi agar tidak bertembung pada pilihan raya nanti.

 

“Kita dengan PKR masih meneruskan kerjasama termasuk dalam pengagihan kerusi. (tetapi) DAP dan Amanah kalau masuk kawasan PAS, kita akan lawan walaupun tiga atau empat penjuru,” katanya.

 

Katanya PAS yakin DAP dan PKR tidak akan memberikan laluan kepada Amanah untuk bertanding di kawasan yang mereka kuasai pada pilihan raya akan datang.

 

“Saya yakin DAP tidak akan beri kerusi kepada Amanah, PKR juga akan bertindak sama. Selalunya orang akan tambah lagi kerusi, hendak bagi kepada orang lain, memang susahlah,” katanya.

 

Mengenai kes kehilangan tujuh murid Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang, Mohd Amar bersyukur dengan penemuan dua murid yang masih hidup manakala bersimpati terhadap mangsa yang ditemui meninggal.

 

Beliau turut menafikan tuduhan bahawa pencarian tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh oleh pihak berkuasa sehingga penemuan mangsa mengambil masa lebih daripada sebulan sejak kehilangan mereka pada 23 Ogos lalu.

 

“Tuduhan itu tidak tepat sebab kita dengar laporan pihak berkuasa yang bertanggungjawab memang bersungguh-sungguh menjalankan operasi pencarian, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini,” katanya.

 

Dua murid terbabit Miksudiar Aluj, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Jumaat lalu, manakala Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia oleh anggota keluarga.

 

Dua rangka yang ditemui masih belum dikenal pasti manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemui.

 

Mereka ialah Linda Rosli, 8, Haikal Yaakob, 8, dan Juvina David, 7.

 

Tujuh murid berkenaan dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lepas kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.