Parti Amanah Cadang Pakatan Harapan Kerjasama Dengan Tun Mahathir

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mencadang agar gabungan pembangkang baharu Pakatan Harapan perlu segera membuat kerjasama bersyarat dengan pasukan Dr Mahathir Mohamad.

 

Dalam satu kenyataan media, Sany Hamzan, Ketua Pemuda Amanah berkata kerjasama Pakatan Harapan bersama pasukan Dr Mahathir agar gelombang yang telah disemarak oleh Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz berhubung siasatan terhadap 1MDB, mampu digarap semaksimum mungkin bagi mengeluarkan negara daripada kemelut ekonomi dan politik.

 

“Terma-terma kerjasama ini haruslah dalam ruang lingkup untuk menyelamatkan negara dengan syarat yang kuat untuk Dr Mahathir tidak akan mengulangi kezaliman politik yang telah beliau legasikan sepanjang 22 tahun memerintah negara sebelum ini,” katanya.

 

Tambahnya, pemuda Amanah memandang usaha veteran-veteran Umno yang diketuai oleh Dr Mahathir merupakan ‘signal nazak’ terhadap keadaan negara yang sedang memasuki fasa tenat dan semakin memburuk.

 

“Lebih menarik apabila Dr Mahathir sanggup mengetepikan sengketa lama beliau dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) untuk tampil bersama memberikan tekanan kepada pentadbiran Perdana Menteri ketika ini.”

 

“Maka, Pemuda Amanah percaya bahawa politik matang dan rentas emosi ini mampu dimanfaatkan untuk tidak terus membiarkan rakyat menderita,” ujarnya.

 

Perbincangan ke arah itu sudah seharusnya bermula memandangkan rakyat tidak mampu menanggung kesusahan demi kesusahan bawah pentadbiran Najib Razak.

 

“Walau mungkin sukar, kita juga percaya bahawa melalui medium konsultasi, tiada masalah atau konflik yang tidak mampu dirungkai,” kata Sany.

 

Semalam, Mahathir bersama dua bekas Presiden MCA Ling Liong Sik dan Ong Tee Kiat; Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin; dua bekas Naib Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan Shafie Apdal dan bekas Setiausaha Agung Umno Sanusi Junid menegas penahanan peguam Matthias Chang dan Khairuddin Abu Hassan di bawah Sosma adalah satu bentuk penyalahgunaan proses undang-undang oleh pihak berkuasa.  – Berita Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.