Keisha Paling Hebat Dalam Dunia – Nabila Huda

Kuala Lumpur – Ketika dia menggalas tanggungjawab menghidupkan karakter Hayati iaitu watak penuh emosi dan menuntutnya perlu banyak menangis pada pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, dalam masa sama dia teruja kerana anak tunggal kesayangannya, Keisha Laila juga beraksi menjayakan teater yang mula dipentaskan di Istana Budaya, malam tadi.

 

Walaupun peranan kanak-kanak lincah itu sedikit, penonton terhibur dengan keletahnya biarpun ramai yang tidak mengetahui sebenarnya antara barisan pelakon kanak-kanak yang terlibat dalam teater tersebut adalah anak Nabila Huda.

 

Lakonan Keisha menghiburkan penonton terutama babak menyanyi dan kanak-kanak itu kelihatan bersungguh-sungguh ‘miming’.

 

Menurut Nabila, penglibatan Keisha dalam pementasan teater arahan Mohamad Azhar Zainal itu hanya secara kebetulan.

 

“Dia selalu ikut saya datang reheasal. Jadi, apabila saya tengah buat latihan, dia pula bermain dengan beberapa pelakon kanak-kanak lain yang turut berada di situ.

 

“Dia seorang anak yang sangat berdikari, dia tahu saya tengah kerja jadi dia tak ganggu saya lagipun dia leka bermain dengan kawan-kawan baru.

 

“Tapi yang lucunya, lama- kelamaan dia pun sama macam ‘buat’ reheasal kat tepi sudut dengan kawan-kawan barunya.

 

“Jadi, saya pun bertanya pada dia, Keisha nak berlakon tak? Dia teruja sangat dan terus saya beritahu pada penerbit yang anak saya nak berlakon dalam teater ini.

 

“Saya siap cakap pada penerbit, jangan risau sebab saya yang akan bayar gaji anak saya.

 

“Saya gembira dan seronok kerana dalam usianya yang baru lima tahun dia sudah beraksi dalam teater, di pentas Istana Budaya pula. Ini sebagai pendedahan awal untuknya dan kenangan paling manis dalam hidup dia.

 

“Tadi, sebaik saja selesai, dia tanya pada saya, “Mummy, Keisha okay tak berlakon?” Saya jawab sebagai memberi semangat padanya – “Keisha, awaklah yang paling hebat dalam dunia,” katanya ketika ditemui sejurus usai pementasan, di Istana Budaya malam tadi.

 

Tambahnya, dia mengakui sudah mula menyedari bakat dan minat anaknya itu lebih terarah pada dunia seni. Justeru, dia tidak menghalang Keisyah meneruskan minatnya.

 

Malah, sewaktu sesi latihan, Nabila juga memberikan nasihat dan tips pada Keisya mengenai lakonannya.

 

“Saya pesan pada dia, apabila di pentas relaks dan ikut arahan pengarah. Jangan tengok kawan tetapi tengok penonton sebab penonton yang tengok kita.

 

“Disebabkan dia kecil, jadi saya ingatkan dia agar jangan bagi pelakon dewasa atau pelakon kanak-kanak lain ‘blocking’ dia sewaktu pementasan.

 

“Alhamdulillah, dua tiga kali reheasal dia cepat ‘catch up’ apa yang pengarah minta dia buat. Kadang-kadang itu kalau dia main-main ketika latihan, saya akan bertegas dengannya.

 

“Saya ingatkan dia, yang dia tengah bekerja. Kalau dia main-main sewaktu latihan, saya tak mahu belikan dia barang permainan.

 

“Saya tak halang dia nak ceburi bidang seni lagipun saya nampak dia minat ke arah itu dan dia ada bakat,” tuturnya.

 

Dalam pada itu Nabila mengakui dia lega kerana dapat kembali beraksi dengan lancar selepas sebulan bertungkus lumus menjalani latihan bersama barisan pelakon lain.

 

Meskipun belum cukup berpuas hati, dia akan memperbaiki kelemahan dan memberikan lakonan yang lebih baik lagi pada malam-malam seterusnya sehingga hari terakhir iaitu pada 18 Oktober 2015.

 

“Ini cerita berat dan watak saya memang banyak menangis. Memang agak tertekan tapi disebabkan kita semua sudah jalani latihan, tekanan itu kurang.

 

“Kalau sepanjang tempoh latihan memang saya fokus pada watak saya tetapi apabila selesai, saya balik ke bilik saya dan buat perkara-perkara yang boleh menghilangkan sikit rasa ‘ stress’ misalnya dengar lagu-lagu lain, tonton filem sebab saya nak lari sekejap dari teater ini.

 

“Setiap pelakon memang takkan pernah berpuas hati dan rasa gugup itu tetap ada tetapi kalau boleh memang saya mahu berikan yang lebih baik lagi.

 

“Kami akan cuba perbaiki kelemahan dan kekurangan pada pementasan seterusnya nanti.

 

“Sepanjang pementasan tadi, memang kami berhati-hati sebab kami belum betul-betul biasa dengan props sebagai contoh ketika saya dan Amar berdiri di atas tebing tu, tebing itu tinggi dan tak stabil.

 

“Saya risau kalau tersalah langkah dan mungkin boleh menyebabkan kami terjatuh,” katanya.

 

Teater Muzikal Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah sebuah kisah cinta menyayat hati antara dua jiwa iaitu Zainuddin dan Hayati yang melibatkan isu darjat, pangkat, harta, nafsu, cinta dan kesetiaan.

 

Teater terbitan CTRA Production ini turut dijayakan Amar Baharin, Sharul Ridzuan, Amyra Rosli, Karl Syafiq dan Liza Abdullah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.