Kartunis Jangan Cetus Kemarahan Seperti Charlie Hebdo

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kartunis tidak harus menggunakan karya mereka untuk menimbulkan kemarahan kumpulan tertentu dalam masyarakat seperti dicetuskan majalah satira dari Perancis, Charlie Hebdo.

 

Perdana Menteri berkata, nabi dalam Islam dan perkara-perkara sensitif dalam agama-agama lain tidak harus dijadikan bahan dalam karya kartunis.

 

Beliau berkata, kartunis bagaima­na­pun bebas untuk menghasilkan karya mengenai politik seperti yang sedang berlaku di negara ini.

 

“Kalau nak lukis (kartun) politik, tidak ada had dan tiada masalah. Keadaan ini (kartun politik) dilakukan setiap masa termasuk di media sosial,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Anugerah Kampung Boy 2015 yang diadakan di Menara Sri Wilayah di sini malam ini untuk mengiktiraf kartunis ta­nah air yang menjadi penghibur, pencerita dan pengkritik sosial me­lalui seni lukis kartun.

 

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden Kelab Kartunis Malaysia, Mohd. Desa Omar dan kartunis ter­kenal, Datuk Mohammad Nor Khalid yang lebih dikenali sebagai Lat.

 

Najib berkata, karya oleh kartunis tempatan seperti Lat telah menyampaikan mesej mengenai keharmonian dan nilai saling menghormati dalam masyarakat.

 

“Datuk Lat berjaya mengete­ngahkan isu dari sudut yang mudah difahami dan diingati serta ditambahkan dengan unsur hiburan,” kata Perdana Menteri yang juga peminat kartun Lat.

 

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan akan mempertimbangkan permohonan Kelab Kartunis Malaysia yang meminta sebuah Rumah Kartunis diwujudkan di negara ini.

 

“Rumah Kartunis boleh dijadikan destinasi kunjungan untuk menghargai gaya hidup unik di Malaysia,” katanya.

 

Anugerah Utama Kampung Boy 2015 telah dimenangi oleh Jaafar Taib, sekali gus membawa pulang hadiah RM5,000, Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM1,000 dan trofi daripada Perdana Menteri.

 

Pemenang Anugerah Kampung Boy 2015 yang lain ialah Meor Shariman Meor Hassan atau Mishar (Anugerah Khas Juri), Zainal Buang Hussein (Anugerah Kartunis Le­genda) dan Sabariah Jais atau Cabai (Anugerah Kartunis Terbaik). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.