Kadar Tol Naik: Bagaimana Nak Hidup? Ini Gila!

Kuala Lumpur – Penyelarasan kadar tol bermula Khamis ini hanya melibatkan lebuh raya dalam bandar dan tidak melibatkan lebuh raya antara bandar.

 

Selain itu, kadar tol untuk bas akan kekal seperti mana sekarang dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, terutamanya bas yang akan menjadi satu lagi opsyen mod pengangkutan ke destinasi masing-masing serta mengurangkan aliran trafik atau kesesakan ke pusat bandar.

 

Menurut Kementerian Kerja Raya, kerajaan juga telah menangguhkan kenaikan kadar tol di lebuh raya-lebuh raya yang layak mendapat kenaikan tol sejak tahun 2008 sebagai salah satu inisiatif untuk mengurangkan beban kewangan rakyat.

 

“Oleh itu,kerajaan telah membayar pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi yang terlibat sebagai mana yang diperuntukkan dalam Perjanjian Konsesi.

 

“Jumlah pampasan yang telah dibayar oleh kerajaan dari tahun 2008 hingga 2013 adalah sebanyak RM1,108.91 juta manakala bagi tahun 2014 adalah sebanyak RM402.99 juta,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan pembangunan lebuh raya dibiayai oleh syarikat konsesi, kadar tol perlu dikenakan kepada pengguna untuk membolehkan syarikat tersebut menyelenggara lebuh raya tersebut untuk keselesaan dan keselamatan para pengguna.

 

Dalam hal ini, katanya, kadar tol yang dikenakan adalah berdasarkan user pay di mana kadar tol dibayar adalah mengikut jarak perjalanan pengguna.

 

“Kadar tol yang ditetapkan di sesuatu lebuh raya mengambil kira kos pembiayaan, kos operasi dan penyenggaraan serta kemampuan pengguna.

 

“Kerajaan tidak mahu membebankan rakyat dengan kadar tol yang tinggi dan oleh kerana itu, kadar tol yang dikenakan akan mengalami gradual increment sepanjang tempoh konsesi yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu.

 

Dalam pada itu, kerajaan berpandangan pampasan-pampasan penangguhan kenaikan kadar tol sewajarnya digunakan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan yang lain yang boleh memberi kesan pengganda (multiple effect) kepada ekonomi negara yang seterusnya boleh memanfaatkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

 

“Umpamanya, ia boleh digunakan untuk membiayai kerja-kerja penurapan semula jalan-jalan sedia ada, menyediakan lebih banyak kemudahan kesihatan seperti membina lebih banyak hospital, membina lebih banyak sekolah dan sebagainya,” kata kenyataan itu.

 

Sementara itu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan tindakan itu sebagai gila.

 

“Mereka mungkin gila!” kata Datuk Nadzim Johan berhubung kenaikan kadar tol yang diumumkan syarikat-syarikat konsesi pada Isnin.

 

Nadzim yang terkejut dengan pengumuman itu berkata ia adalah masa yang salah untuk kerajaan membuat keputusan tersebut kerana rakyat Malaysia masih terasa bahang dari peristiwa ekonomi lalu mahupun terkini di samping kenaikan harga barangan keperluan.

 

“Bagaimana kerajaan boleh meluluskan ini? Mereka tidak boleh memikirkan dengan menaikkan harga tol sekarang. Ia adalah masa yang salah dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta penyusutan nilai ringgit. Malah, harga petrol juga naik.

 

“Ia tidak masuk akal untuk sesiapa sahaja mengambil kesempatan daripada pengguna sekarang,” katanya.

 

Nadzim berkata pengguna telah lama menderita selama bertahun-tahun dengan membayar tol dan keputusan ini hanya akan memburukkan nama kerajaan sekali gus mengakibatkan kehilangan sokongan pengguna.

 

Tambahan pula, Nadzim berkata dengan tol yang dikonsesikan, syarikat-syarikat konsesi perlu meminta tempoh lanjutan jika situasinya adalah tidak cukup duit.

 

“Jika mereka diberi konsesi selama 20 tahun dan situasinya mungkin mereka tidak boleh membayar gaji (pekerja), mintalah tempoh lanjutan. Itu tidak mengapa.

 

“Saya tidak nampak sebarang sebab untuk membebankan pengguna. Biarlah mereka selesaikan,” katanya.

 

Tinjauan SuaraTV mendapati rata pengguna turut melahirkan rasa tidak puas hari dan mengkritik keputusan untuk menaikkan kadar tol tersebut.

 

Seorang pengguna media sosial Facebook, Ashley Greig dilihat mengkritik kerajaan dan menyalahkan pihak berkuasa untuk kenaikan harga tol, dengan secara sinis berkata:

 

(Ambillah lagi wang kami. Kami semua dapat banyak kan? Kos hidup kami sangat murah kan? Kami sangat sayangkan negara kerana itu kami sanggup berlapar supaya menteri kita boleh hidup dengan baik kan? Naikkahlah. Naikkanlah.)

 

Sementara itu, Renu Thiaga seolah-olah turut kecewa dengan berita itu, yang menyatakan bahawa kehidupan akan menjadi lebih sukar apabila kenaikan harga ini dilaksanakan: “Semunya naik, saya tidak tahu bagaimana nak hidup.”

 

Tinjauan di Twitter pula mendapati, rata melahirkan rasa marah dengan kenaikan kadar tol yang bahatru itu.

 

@ramduater mempersoalkan rasional di sebalik kenaikan harga dengan secara terus melontarkan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak:

 

“apa rasioanal kadar tol, lrt dinaikan dan knpa (kenapa) kadar tol, lrt mesti dinaikan @NajibRazak??”

 

“Memang gila, bayar tol RM3 hanya untuk terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Anda tahu, daripada sesak 45 minit, mari nikmati kesesakan 30 minit dalam terowong,” kata @jimiecheng merujuk kepada kenaikan kadar tol terowong Smart.

 

Kadar tol lebuh raya utama di dalam dan sekitar pusat bandar akan berkuatkuasa 15 Oktober ini, apabila 12 syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM6.

 

Kadar tol baharu itu melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART).

 

Turut mengumumkan kenaikan kadar tol ialah Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (GRAND SAGA).

 

Bagaimanapun, PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataan memaklumkan kadar tol di semua lapan lebuh raya kendaliannya akan kekal pada ketika ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.