Jangan Terbawa-Bawa Dengan Isu Bunian – Fathul Bari

Kuala Lumpur – Masyarakat tidak seharusnya terbawa-bawa dengan isu ‘bunian’ yang didakwa memberi makan kepada kanak-kanak Orang Asli di hutan belantara Gua Musang baru-baru ini.

 

Sebaliknya kata seorang ulama Dr. Fathul Bari Mat Jahya kepercayaan ini hanya akan merosakkan akidah, justeru lebih baik untuk melihat daripada aspek logik.

 

Tambahnya yang bertanggungjawab memberi kita rezeki mahupun makanan adalah Allah dan manusia lain.

 

“Saya tidak melihat seperti itu… hanya orang yang memberi makan kepada orang lain.

 

“Kita diberi makan Allah hari ini, kenapa fikir begitu? Pelik fikiran begitu, imajinasi yang pelik.

 

“Jangan kita keterlaluan dalam menerjah isu-isu seperti ini, kita letak ke tepi kita ambil perkara yang logik dan rasional sahaja,” katanya kepada Berita Daily ketika dihubungi.

 

Tambahnya walaupun terdapat jin yang termasuk dalam kategori syaitan, namun manusia tidak perlu terlalu terbawa-bawa dengan imajinasi sehingga takut bahawa makhluk halus mempunyai kuasa termasuk mampu untuk memudaratkan manusia.

 

Dalam pada itu beliau menambah bunian hanyalah ‘penjenamaan’ yang dibuat berdasarkan budaya dan kepercayaan kumpulan masyarakat namun secara keseluruhan ia adalah jin.

 

“Yang melabelkannya adalah berdasarkan budaya dan masyarakat… Budaya kini mempercayai bunian, budaya dan cerita orang lama sebenarnya. Benda ghaib yang layak memberikan penamaan dan pelabelan hanya Allah.

 

“Jadi soal ada orang yang menyembunyikan hatta yang memberikan makan Allahualam saya tidak berpendapat seperti itu sebab makhluk-makhluk ini tidak mampu mendatangkan apa-apa mudarat melainkan dengan izin Allah.

 

“Kita tidak mahu ini merosakkan akidah dan kepercayaan, akhirnya jadi syirik. Kita bukan minta kepada jin tetapi kepada Allah,” ujarnya.

 

Untuk rekod, lebih sebulan tujuh kanak-kanak daripada Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi dilaporkan hilang.

 

Mereka dilakatakan tidak pulang ke asrama takut dikenakan hukuman kerana mandi di sungai berhampiran tanpa kebenaran.

 

Terbaru hanya dua yang ditemui selamat iaitu Norieen Yaakob, 10 dan Miksudiari Aluj, 11. Salah seorang daripada mereka mendakwa diberi makan oleh ‘seseorang’ yang juga disifatkan penduduk tempatan sebagai bunian di dalam hutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.