Berita Palsu Penemuan Bangkai Pesawat MH370 Singgung Perasaan Waris

Kuala Lumpur – “Jangan sebar berita palsu tentang penemuan bangkai pesawat MH370 kalau tidak sahih kerana ia hanya menyinggung perasaan waris,” demikian reaksi Selamat Omar, bapa kepada salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac tahun lepas.

 

Selamat, 60, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Selamat dalam kalangan media berkata, beliau mengetahui berita yang mendakwa penemuan bangkai pesawat itu di selatan Filipina pada Sabtu lepas sebaik sahaja ia tersebar di media sosial.

 

“Sebaik melayari internet dan membaca berita kononnya penemuan bangkai pesawat tersebut di Hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina, saya tidak yakin dan dapat rasakan ia tidak benar.

 

“Ini kerana jaraknya terlalu jauh dari lingkungan operasi mencari menyelamat yang dilakukan sebelum ini,” kata bapa kepada penumpang Mohd Khairul Azmi itu ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

 

Pencarian pesawat itu sebelum ini tertumpu di selatan Lautan Hindi yang mana penerbangan itu dipercayai berakhir sejak lebih setahun lepas.

 

Pada Sabtu lepas, seorang lelaki bernama Jamil Omar di Balai Polis Sandakan yang mendakwa ibu saudaranya menemui bangkai pesawat di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina awal September lepas.

 

Dalam laporan itu, lelaki berkenaan turut mendakwa wanita itu menemui banyak rangka manusia dalam pesawat terbabit selain menjumpai sehelai bendera Malaysia berukuran 178sm panjang dan 89sm lebar.

 

Bagaimanapun Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada semalam telah memaklumkan bahawa tiada bangkai pesawat MH370 yang ditemui di selatan Filipina telah disahkan oleh pihak berkuasa Filipina.

 

Mengulas tentang perkara itu, Pak Selamat berkata beliau memahami lelaki berkenaan prihatin dan mungkin ingin membantu pasukan mencari dan menyelamat untuk menyelesaikan misteri tentang kehilangan pesawat berkenaan.

 

Namun katanya, berita yang tidak sahih dan lengkap itu hanya menambahkan lagi luka di hati waris penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan yang selama ini ternanti-nanti berita tentang penemuannya.

 

“Saya mengharapkan masyarakat, jangan buat laporan polis kalau tidak ada maklumat sahih kerana ia bukan sahaja akan mengguris perasaan waris, tetapi juga akan menyusahkan kerajaan dan mengganggu tumpuan operasi mencari yang dilakukan.

 

“Apabila perkata ini berlaku, kerajaan juga terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk menghantar pasukan penyiasat ke tempat tersebut untuk pastikan kesahihannya,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.