Wanita Hampir Maut Dirempuh Perodua Viva

Kajang – Seorang wanita hampir menemui ajal apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam kejadian di Jalan Utama, Taman Teknologi di sini semalam.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kajang, Muftaza Paijan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 3 petang.

Katanya, bertindak atas maklumat tersebut seramai enam orang anggota digegaskan ke lokasi kejadian dan tiba beberapa minit kemudian.

“Sejurus tiba kita dapati mangsa yang merupakan seorang wanita berusia lingkungan 30an terperosok di bawah sebuah treler tanpa muatan yang berhenti di bahu jalan.

“Orang awam yang ingin membantu membuat keputusan untuk menghubungi pihak bomba selepas melihat mangsa yang berlumuran darah berada di bawah treler itu,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, Isnin.

Muftaza berkata, pihaknya dapat mengeluarkan mangsa dengan mudah menggunakan pengusung ekoran kedudukannya yang tidak tersepit semasa berada di bawah treler berkenaan.

Jelas beliau, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.

Kes tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu menurut polis, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Viva terbabit yang dipandu seorang lelaki telah bergerak melawan arus sebelum bertembung dengan mangsa yang menunggang seorang diri.

“Pemandu terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh mangsa yang berada di laluan yang betul.

“Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata jurucakap polis berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.