Satu Sen Pun Datin Seri Rosmah Tak Dapat Dari Permata – Ahmad Maslan

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak yang menyatakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerima wang sebanyak RM711 juta melalui Program Permata Negara (PERMATA).

Sebaliknya, beliau menegaskan sebahagian daripada peruntukkan itu turut dikongsi oleh Kementerian Pendidikan, Tadika Kemas dan Tadika Perpaduan.

“Datin Seri Rosmah tak dapat sesen pun dari PERMATA.

“Fitnahnya (Dakwaan) mereka kata dapat RM 711 juta (PERMATA) itu tidak betul. RM 711 itu adalah keseluruhan beberapa agensi yang menguruskan pendidikan awal kanak-kanak termasuk tadika.

“Ada beberapa kumpulan yang terlibat yang pertama Kementerian Pendidikan sendiri, kedua Tadika Kemas yang banyak di seluruh negara, ketiga Tadika Jabatan Perpaduan dan yang keempat adalah Permata,” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan beberapa pihak yang mengatakan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor mendapat manfaat menerusi peruntukan kepada Program Permata Negara (PERMATA) dalam bajet 2015 baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ahmad Maslan berkata dakwaan itu hanya fitnah semata-mata sebaliknya beliau menegaskan PERMATA telah menyumbangkan banyak kebaikan kepada pendidikan pra sekolah.

Sebelum ini, Naib Ketua Wanita Keadilan, Haniza Talha menyatakan tidak sepatutnya subsidi rakyat dipotong hanya semata-mata untuk disalurkan kepada program berkenaan.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang agak sukar apabila subsidi dipotong dan rakyat menanggung beban, lebih baik duit yang diperuntukkan itu dibelanjakan pada benda yang lebih berguna,” kata Haniza.

Sementara itu Pakatan Rakyat terus mempersoalkan jumlah peruntukan yang diterima program pendidikan awal kanak-kanak yang diilhamkan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dua MP Pakatan hari ini menggesa menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat Program PERMATA.

Manivanan Gowindasamy (PKR-Kapar) berkata, peruntukan yang disalur kepada program itu dalam Belanjawan 2015 tidak sepadan dengan 82 buah jumlah pusatnya di seluruh negara yang melibatkan 1,780 orang pelajar.

Menurutnya, angka itu mewakili hanya 0.074 peratus daripada jumlah semua kanak-kanak di Malaysia.

“Adakah ini satu lagi ketirisan wang rakyat?” tanya Manivanan yang mencelah perbahasan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) di Parlimen hari ini.

 

Sekolah pondok hanya RM25 juta

Sementara itu, menyahut kenyataan Manivanan, Siti Zailah kemudian menggesa SPRM agar menyiasat program itu jika berlaku penyelewengan.

“Saya ingin SPRM bertanggungjawab menyiasat.

“Jika betul berlaku penyelewengan, Insya-Allah rakyat akan menghukum kerajaan BN,” kata Siti Zailah sewaktu membahaskan Belanjawan 2015.

Beliau sebelum itu membandingkan jumlah peruntukan itu berbanding hanya RM25 juta untuk sekolah-sekolah pondok.

“Kita alu-alukan (PERMATA) untuk kebaikan negara tetapi kita tidak mahu dalam negara kita ada sistem pendidikan dua darjat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.