Petisyen: Lebih 11,000 Sokong Presiden ISMA

Kuala Lumpur – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman boleh merasa lega ekoran ribuan menandatangani e-petisyen supaya tuduhan hasutan terhadapnya digugurkan.

Sehingga jam 6.25 petang ini, e-petisyen itu – yang dimulakan oleh ISMA pada 2 Oktober lalu – telah mengumpulkan 11,050 tandatangan.

Ini dibuat menjelang perbicaraan Abdullah Zaik yang ditangguhkan hari ini kepada 22 Disember, sementara menunggu keputusan cabaran pensyarah undang-undang, Prof Madya Azmi Sharom terhadap kesahan tuduhan hasutan terhadapnya.

Menurut petisyen itu, Abdullah Zaik dijadikan sasaran kerana mempertahankan Islam, orang Melayu dan institusi diraja.

Katanya, beliau telah mengingatkan fakta-fakta sejarah tentang hakikat kedudukan kaum Melayu dan pendatang sebelum dan semasa pembentukan negara Malaysia yang merdeka.

“Akibatnya presiden ISMA telah dijadikan sasaran serangan pihak chauvinist dan evangelist, sehingga membawa kepada dakwaan di bawah Akta Hasutan,” tambah petisyen itu.

Petisyen itu adalah sebahagian daripada kempen ISMA dalam menyokong presidennya.

Sebelum itu, NGO yang lantang itu, melancarkan video Youtube menggesa semua orang Melayu menghadiri perbicaraan tersebut sebagai menyokong Islam, orang Melayu dan institusi diraja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.