OktoberFest: Kem Pelancongan Nafi Taja Penganjuran Pesta Arak Di Melaka

Kuala Lumpur – Kementerian Pelancongan Malaysia hari ini menafikan terlibat dengan sebarang penganjuran pesta arak Oktoberfest seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menurut Pengarah Pelancongan Negeri Melaka, Datuk Lim Chow Beng yang dihubungi SuaraTV sebentar tadi, pihaknya tidak pernah memberikan sebarang tajaan untuk menganjurkan pesta seumpama itu.

“Pelancongan negeri (langsung) tidak terlibat dalam penganjuran Oktoberfest.

“Kebiasaanya (pada) setiap tahun acara ini dianjurkan oleh pihak swasta malah pihak kami (kementerian pelancongan) juga tidak pernah menyokong atau memberikan sebarang tajaan untuk acara ini.

“Ia kebiasaanya dianjurkan oleh pub & cafe serta hotel bertaraf bintang” katanya.

Pesta Arak Melaka 1

 

 

 

 

 

 

Para pengguna media sosial sebelum ini kecoh apabila sebuah akhbar melaporkan, kononnya pesta arak tersebut mendapat tajaan dari Kementerian Pelancongan sebagai satu usaha untuk menggalakkan pelancong dari luar negara untuk datang ke Melaka.

Sementara itu Kerajaan negeri Melaka dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menjelaskan tidak pernah menerima permohonan bagi penganjuran pesta Oktoberfest 2014 yang dijadual berlangsung di Jonker Street di Melaka pada Sabtu ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata kerajaan negeri tidak pernah meluluskan mana-mana permohonan daripada syarikat swasta ataupun badan bukan kerajaan untuk menjayakan program yang bertentangan dengan syariah.

“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas ke atas umat Islam yang terlibat dalam mana-mana kegiatan berstatuskan maksiat.

“Premis-premis menjual arak hanya dikunjungi oleh orang bukan Islam sahaja,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Melaka, Zulkifli Ismail Muhammad sebelum ini menyeru supaya kerajaan negeri Melaka segera mengambil langkah menghalang sebarang penganjuran pesta arak Oktoberfest di negeri Melaka.

Menurut Zulkifli, pesta seumpama itu adalah suatu budaya yang asing kepada rakyat negeri Melaka.

“Ia adalah gejala negatif yang bakal menjerumuskan rakyat ke dalam sindrom ketagihan arak.

“Rakyat Melaka berbilang bangsa dengan adat ketimurannya yang tinggi hendaklah dilindungi dari kerosakan besar berpunca dari arak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga memetik daripada Sabda Rasulullah SAW mengenai arak itu adalah sumber segala kejahatan.

“Hak bukan Muslim untuk minum arak tidak dihalang oleh Islam namun menjadikannya sebagai suatu pesta adalah jelas bercanggah dengan Islam dan membahayakan masa depan rakyat di negeri ini.

“Dewan Ulama PAS Melaka berharap kerajaan negeri Melaka di bawah kepimpinan Datuk Haron Idris akan dapat mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan Selangor ke atas penganjuran pesta arak Oktoberfest yang bakal diadakan di Jonker Walk pada 18 Oktober 2014,” jelasnya.

Jelasnya lagi pada hari penganjuran tersebut, orang Islam ketika itu akan menyambut Majlis Cinta Rasul.

“Apakah tujuannya apabila di satu bahagian bandar Melaka berselawat memuliakan Rasulullah SAW tetapi dalam waktu yang sama kerajaan negeri Melaka membenarkan penganjuran pesta arak di Jonker Walk yang tidak jauh dari Stadium Kubu tempat berlangsungnya majlis selawat tersebut,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.