Militan Sedang Usaha Rekrut Lebih Ramai Gadis Melayu Sertai Jihad Di Syria

Kuala Lumpur – Usaha merekrut gadis Malaysia menyertai kumpulan militan di negara bergolak Syria yang kononnya atas dasar jihad, semakin agresif apabila ia turut dikesan cuba merekrut pelajar sekolah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mendedahkan perkara itu berkata, individu yang giat menjalankan kegiatan itu hanya melalui Facebook menyasarkan golongan ini memandangkan mereka lebih mudah terpedaya.

“Trend rekrut melalui Facebook amat membimbangkan dengan menyasarkan usia antara 15 dan 30 tahun … kita ada kesan pelajar sekolah menengah juga cenderung untuk berjihad dan dipujuk melalui Facebook.

“Selain pelajar sekolah, penuntut IPTA/IPTS yang biasanya mempunyai masalah dalam pengajian dan masalah keluarga turut menjadi sasaran … pekerja swasta dan kerajaan termasuk ahli perniagaan juga dipujuk untuk sama-sama berjihad,” katanya.

Ayob Khan berkata, terdapat tiga kumpulan militan yang disertai rakyat Malaysia di Syria iaitu Islamic State (IS), Jabhat Al Nusra dan Ajnad Al Sham.

Beliau menjelaskan, kebiasaannya golongan sasaran ini dipujuk dan direkrut berasaskan ayat-ayat suci Al-Quran dan untuk berjihad bersama mujahidin.

Sementara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan telah pun mempunyai maklumat asas berkenaan jumlah dan keadaan rakyat Malaysia yang menyertai mereka di Syria dan Iraq.

“Kita tidak buat apa-apa hubungan dengan ISIS (nama lain untuk IS), saya ada maklumat-maklumat itu (rakyat Malaysia menyertai ISIS) tapi kita sudah mengenal pasti maklumat-maklumat tersebut.

“Kita ketahui siapa mereka yang berada di sana dan dijangka sudah dianggap terkorban dan luka dan sebagainya, kita mengetahui perkara itu.

“Tetapi kita tidak ada pengesahan rasmi daripada pihak bertelagah di sana. Oleh itu, kita tidak boleh buat pengumuman secara treperinci kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Wan Junaidi bagaimanapun enggan mengulas mengenai kenyataan Ayob Khan berrhubung usaha merekrut gadis Malaysia menyertai kumpulan militan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.