KJ Bakal TPM Andai Najib Undur Awal – Kadir Jasin

Kuala Lumpur – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpotensi besar memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan kepimpinan sedia ada kini.

Kenyataan itu disuarakan Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press, Datuk A. Kadir Jasin yang berkata kredibiliti yang ditonjolkan Khairy mampu menjadikan beliau tokoh utama dalam pentadbiran negara akan datang.

“Kalau dengan takdir Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terpaksa berundur sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang, pasangan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah alternatif yang logik.

“Tetapi kalau Muhyiddin terus penat dan menderita sindrom Timbalan Perdana Menteri maka jawatan Perdana Menteri mungkin jatuh ke tangan Datuk Seri Hishammudin Hussein dan dalam situasi itu, Khairy berpotensi naik menjadi TPM.

“Jadi, suka atau tidak kita terpaksa meletakkan Khairy di tempat yang penting dalam senario politik dan kepemimpinan negara untuk dekad ini,” tulisnya dalam blog The Scribe A Kadir Jasin.

Katanya, kejayaan Khairy membebaskan diri daripada pengaruh Tun Abdullah dan merapati Mohd Najib sehingga diterima sebagai orang kepercayaan membuktikan keupayaan beliau sebagai political survivalist muda.

Malah kejayaan Khairy dalam politik tanah air disifatkan sukar untuk digugat oleh mana-mana pihak sejak beliau berjaya mengalahkan Mohd Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir ketika merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Ini katanya membuktikan kredibiliti Khairy sebagai ahli politik muda tidak hanya bergantung kepada Tun Abdullah semata-mata.

Jelasnya lagi sebagai Ketua Pemuda serta Menteri Belia dan Sukan, beliau mempunyai kedudukan yang cukup kuat dalam hierarki UMNO.

“Hari ini, kedudukan beliau dalam politik UMNO boleh disifatkan sebagai unshakable – sukar digoyang.

Malah keupayaannya dalam menarik golongan muda melalui media sosial juga dipandang tinggi oleh masyarakat.

“Ramai orang tahu bahawa Khairy menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan pada saat ramai pembesar UMNO, termasuk menteri sendiri curi-curi hantar anak-anak mereka ke sekolah elit swasta. Beliau sendiri masuk menjadi anggota Tentera Wataniah,” tulisnya.

Katanya keputusan Najib melantik Khairy sebagai menteri adalah tepat walaupun dia menjangka Khairy berhak mendapat jawatan menteri di Kementerian luar.

Namun begitu, kekuatan Khairy semakin terserlah apabila gabungan dua jawatan besar yang diberikan meletakkan Ahli Parlimen Rembau itu muncul sebagai orang paling hadapan dalam pewarisan UMNO.

“Sama ada Mohd Najib sedar hal ini atau tidak, tindakan melantik Khairy sebagai Menteri Belia telah menggandakan kuasa dan pengaruh beliau sebagai pemimpin pelapis UMNO dan kerajaan.

“Saya rasa Mohd Najib sedar kerana beliau sendiri membina landasan kuasa dan mengumpul barisan penyokong tegar ketika menjadi Ketua Pemuda dan Menteri Belia,” tulisnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.