Khabar Angin Alyah Hamil Tidak Benar

Petaling Jaya – Datin Alyah, 33, terkejut dengan laporan sebuah akhbar mingguan pada Ahad mengatakan dirinya hamil anak pertama.

Dalam laporan akhbar berkenaan menyebut Alyah dikatakan berkunjung ke sebuah klinik kesihatan dan seorang individu yang turut berada di tempat sama terdengar penyanyi itu berbual mengenai kehamilan.

Bagaimanapun isteri kepada pengarah muzik, Datuk Ramli MS ini menafikan perkara tersebut dan beliau tidak mengetahui siapakah individu yang menyebarkan cerita itu.

“Pertama sekali berita saya hamil tidak benar dan apabila membaca mengenai laporan berkenaan saya terkejut kerana ia bukan datang daripada mulut saya.

“Saya tidak tahu siapa yang sebarkan mengenai cerita itu tetapi ia sama sekali tidak benar,” katanya seperti yang dilaporkan mStar online hari ini.

Namun Alyah tidak menafikan ada berkunjung ke klinik berkenaan bersama seorang temannya tetapi tidak berbual mengenai hal-hal kehamilan seperti yang dilaporkan.

Jelas Alyah, semasa berada di ruang menunggu hanya sepasang suami isteri turut berada di dalam klinik berkenaan dan dia pelik dengan tuduhan yang dibuat terhadapnya itu.

“Saya berkunjung ke klinik berkenaan atas sebab lain dan tiada pula bercakap mengenai kehamilan malah hanya ada sepasang suami isteri sahaja di dalam klinik tersebut ketika itu,” katanya.

Alyah dan Ramli bernikah secara rahsia di Batam, Indonesia pada 18 Mac 2013 dan perkahwinan itu terbongkar apabila sekumpulan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi, 28 Ogos lalu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.