Kerajaan Tidak Pernah Pinggirkan Pendidikan Agama – TPM

Kuala Lumpur – Kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Multaqa Pengetua dan Guru Besar Institusi Pendidikan Agama di Kajang, baru-baru ini bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka dalam rangka merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 adalah menarik untuk dianalisis.

Wawasan 2020 meletakkan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju berasaskan acuan kita sendiri. Persidangan Pendidikan Islam di Makkah pada tahun 1977 menyarankan supaya pendidikan Islam kembali kepada landasan tauhid. Dualisme yang terjadi dalam sistem pendidikan di negara umat Islam menghasilkan tasawwur atau world-view yang tidak integratif.

Malaysia pada tahun 1983 mengambil langkah positif menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai asas melakukan integrasi dan Islamisasi ilmu. Kini, minat dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia menghantar anak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) meningkat dalam kadar yang luar biasa.

Ada 57 SMKA di seluruh negara ketika ini yang memberi peluang pelajar mendalami Islam dan pada masa yang sama, subjek akademik dan sains turut diajar kepada mereka. SMKA akan bertambah menjadi 77 buah menjelang tahun 2025 dan 588 buah sekolah menengah harian melaksanakan Kelas Aliran Agama (KAA).

Perkenal konsep Ulul Albab

Suatu strategi menarik yang dilakukan oleh kerajaan ialah memperkenalkan konsep Ulul Albab di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan SMKA. Setakat ini, ada tiga Ulul Albab di MRSM dan tiga Ulul Albab di SMKA. Jumlahnya akan bertambah pada tahun akan datang.

Penelitian penulis terhadap sistem Ulul Albab di MRSM amat menarik sekali. Anak dididik menghafaz al- Quran dan pada masa yang sama mempelajari subjek sains dan teknologi. Ia akan menjadi lebih hebat sekiranya kurikulum integratif dapat disusun supaya sentuhan al-Quran terhubung dengan sains dan latihan keguruan yang sepadu harus diberi supaya pembelajaran sains selari dengan tema utama al-Quran.

Malaysia memerlukan pendekatan yang jelas dan strategik dalam pendidikan Islam supaya wujud keseimbangan antara binaan ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem. Pada diri insan Allah kurniakan potensi akliah dan rohaniah supaya adunan pendidikan wahyu (nakliah) dan akliah terjalin erat dan membentuk watak yang Islami.

Allah kurniakan alam ini dengan sumber rahmah dan nikmah yang banyak. Negara Islam mempunyai sumber hasil bumi yang kaya. Ia memerlukan ilmu mengurus sistem seperti sains dan teknologi supaya akhirnya umat Islam mampu menyumbang kepada keperluan umat manusia. Dalam bahasa yang mudah, fokus kepada bidang diniah seperti akidah, ibadah, syariah dan akhlak adalah penting tetapi kualiti asas ilmu mengurus diri harus mampu dimanifestasikan dalam ilmu mengurus sistem. Kalau tidak, umat Islam bakal kekal menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain.

Ilmuwan miliki dua kekuatan

Tradisi ilmu dalam tamadun Islam pada masa yang lalu menghasilkan ilmuwan yang memiliki dua kekuatan ini. Tokoh seperti Ibnu Sina hafaz al-Quran pada awal umur, mendalami ilmu tafsir, cekap dalam menutur 12 bahasa, menghasilkan 273 kitab besar dan mengkhusus dalam bidang perubatan, menghasilkan kitab Kanun Perubatan dan diterjemahkan dalam bahasa Eropah dan dijadikan rujukan di Eropah lebih 600 tahun.

Tamadun Islam zaman Abbassiah, Andalusia dan Uthmaniah, umpamanya tidak menolak sains dan teknologi sebagai pelengkap kepada ilmuan diniah (agama). Lalu tamadun Islam mampu bertahan lebih 700 tahun. Hari ini, umat Islam menjadi lemah kerana ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem tidak terbina dengan seimbang. Lalu produktiviti rohaniah umat Islam relatif tinggi dengan qiyam dan tahajudnya tetapi produktiviti amaliah dalam upaya menghasilkan sistem adalah relatif rendah.

Ini yang disebut Muhyiddin supaya pendekatan cara tradisional perlu diubah ke arah lebih berorientasi masa depan dan bersifat dinamik. Saidina Umar al-Khattab pernah berpesan supaya mendidik generasi hari ini sesuai dengan cabaran masa depannya.  –  BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.