Dua Beradik Ditahan, Jual Hidupan Liar

Kula Lumpur – Kegiatan dua beradik yang menjual hidupan liar melalui laman sosial Facebook (FB) tumpas selepas ditahan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Jumaat lalu.

Kedua-dua lelaki yang berusia 20 dan 29 tahun ditahan ketika cuba menjual hidupan liar kepada anggota Perhilitan yang menyamar sebagai pembeli di Plaza Tol Ayer Hitam, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Pengarah Perhilitan Selangor, Rahim Ahmad, kegiatan yang melanggar Akta Perlindungan Hidupan Liar 1976 itu dikesan hasil pemantauan dan risikan jabatan itu dalam laman sosial FB.

“Kami berjaya mengesan suspek hasil dari penyamaran dan menemui empat ekor Jampok Kubur, seekor Beruang Matahari dan seekor Musang Pandan di dalam sebuah kereta Naza Ria yang dinaiki suspek.

“Susulan tangkapan itu, kami menyerbu sebuah rumah yang dipercayai milik suspek di Bandar Seri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan dan menemui 24 haiwan liar pelbagai jenis,” katanya pada sidang media di sini.

Rahim berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah menemui 20 ekor Jampok Kubur, dua ekor Kubung dan seekor Kucing Batu yang masih hidup, manakala seekor Landak Raya yang sudah mati.

Beliau berkata, harga pasaran untuk hidupan liar adalah tinggi dan nilai rampasan itu dianggarkan RM30,000.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga esok dan di siasat di bawah Seksyen 60(1)(a) dan 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.