Ditipu Rakan Baik Sendiri, Jual Cincin RM14,000

Kuala Lumpur – “Tak sangka cincin berlian yang dibeli dengan harga RM14,000 sebenarnya hanya bernilai kurang daripada RM1,000.” Itu keluhan penyanyi, Salwa Razak yang mendakwa diperdaya rakan baik sendiri dalam urusniaga yang dijalankan beberapa tahun lalu.

Katanya peantun lagu ‘Ahmad’ ini, perkara itu baru disedari beberapa hari lalu apabila dia menghantar cincin berkenaan untuk dibaiki selepas ia mengalami sedikit kerosakan.

“Saya amat terkejut apabila diberitahu oleh pekerja kedai emas bahawa cincin berkenaan sebenarnya hanya bernilai kira-kira RM900 dan segera mengunjungi beberapa kedai lain untuk memastikan kesahihan maklumat berkenaan,” katanya.

Selepas mendapatkan khidmat penilaian di sebuah syarikat emas terkemuka dia diberitahu nilai cincin berkenaan hanya RM934, menyebabkan dia tergamam dan terus menghubungi rakannya itu.

“Sebaik menjawab telefon, dia (rakan yang jual cincin) pula yang mempersoalkan tindakan saya membuat pemeriksaan di kedai emas dan bertanya sama ada saya ingin menjual cincin terbabit.

“Kemudian dia kata dulu saya yang beria sangat hendak sangat beli cincin tu,” katanya.

Bagaimanapun Salwa menjelaskan kemungkinan rakannya itu turut ditipu oleh pihak ketiga yang merupakan tuan punya asal cincin berkenaan.

“Dari satu sudut saya juga bersalah kerana tidak membuat pengesahan ketika melakukan urusniaga dulu.

“Saya serah kepada Allah SWT dan berharap perkara ini jadi iktibar kepada semua agar sentiasa berhati-hati ketika membeli barang kemas walaupun dengan orang yang dikenali,” ujarnya.

Buat masa ini, Salwa berharap pihak terbabit dapat tampil untuk membuat penjelasan kepadanya sebelum dia mengambil tindakan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.