CEO Khazanah Enggan Ikut Nasihat PM, Punca Tambah Ekuiti Bumiputera

Kuala Lumpur – Kegagalan menambah pemilikan ekuiti Bumiputera selama ini adalah kerana mereka yang bertanggungjawab tidak “menghayati nasihat perdana menteri” walaupun kerajaan melakukan pelbagai polisi untuk menambahnya, kata seorang anggota kabinet.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman memberi contoh syarikat pelabur kerajaan Khazanah Nasional yang sepatutnya membantu meluaskan pemilikan ekuiti Bumiputera.

“Khazanah ada beratus syarikat di bawahnya. Dulu ada kata nak kaji jual beberapa syarikat kepada Bumiputera. Tetapi tidak.

“Jangan salahkan perdana menteri. Beliau hanya mengumumkan polisi. Yang implementasi? CEO Khazanahlah.

“Dia gagal hayati semangat perdana menteri dalam hal ini,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu mengumumkan sebanyak RM600 juta akan diperuntukkan bagi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, langkah itu dilakukan kerajaan melalui syarikat Ekuinas yang melaksanakan pelaburan kumulatif bernilai RM2.3 bilion dalam pelbagai sektor.

Tajuddin berkata sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera-yang disasarkan sejak zaman Dasar Ekonomi Baru mungkin tidak cukup menjelang 2020 di mana populasi mereka meramgkumi hampir 70 peratus.

Malah MP Pasir Salak itu turut meluahkan bahawa Bumiputera kini ketinggalan jauh kerana kekurangan modal dan dana untuk memiliki ekuiti.

“Takkan 70 peratus populasi hanya kuasai 30 peratus ekuiti. Ini namanya tak seimbang,” katanya.

Beliau menekankan kepentingan kepimpinan peringkat bawah termasuk ketua setiausaha kementerian dan pentadbir agensi kerajaan memastikan implimentasi polisi perdana menteri berkaitan hal ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.