Bom Lama Ditemui Di Tapak Besi Buruk

Klang –  Sebutir bom lama ditemui di tapak simpanan besi buruk di kawasan perindustrian Bukit Raja, Klang, dekat sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Shukor Sulong, berkata bom berukuran 0.3 meter panjang itu ditemui seorang anggota polis bantuan yang sedang bertugas di kawasan berkenaan kira-kira 9.30 pagi.

Beliau berkata, sepasukan unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bergegas ke lokasi penemuan bom itu untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

Mohd Shukor berkata, siasatan awal mendapati pin pencetus bom telah lesap.

“Siasatan seterusnya mendapati bom itu dibawa ke kilang besi ini bersama besi buruk yang lain dalam tong besi.

“Kita percaya tong berisi bom dan besi buruk itu dibawa dengan kapal dari Amerika Syarikat ke Pulau Carey, Kuala Langat dan diangkut menggunakan treler ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Shukor berkata, bom itu telah dibawa ke Permatang Pasir, Banting, untuk dimusnahkan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.