Bajet 2015 Mesara Rakyat, Memenuhi Hasrat Rakyat

Kuala Lumpur – Bajet 2015 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu jelas memperlihatkan bajet mesra rakyat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata, bajet itu yang merangkumi pelbagai aspek seperti pendidikan, pekerjaan dan meningkatkan ekonomi dapat memenuhi hasrat rakyat demi kesejahteraan negara.

“Yang paling menarik pada pengumuman bajet itu ialah untuk kaum belia memiliki rumah sendiri, jadi kita lihat ini satu bajet yang telah mengambil kira masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan anggota 20 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Manir di sini semalam.

Jailani yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata peruntukan RM100 juta untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pula akan dapat mengembangkan lagi industri digital.

Selain itu, katanya SKMM juga akan meneruskan program-program jalur lebar dengan memberi fokus kepada kawasan yang berimpak seperti di bandar dan kawasan industri.

“Namun  pada masa yang sama kita juga meneruskan pelbagai program lain di kawasan luar bandar seperti pembinaan menara-menara bagi meningkatkan infrastruktur di kawasan luar bandar,” kata Jailani.

Di KEMAMAN, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata menerusi bajet itu kerajaan mengambil kira keperluan semasa dan masa akan datang sektor pendidikan selaras dengan matlamat negara menuju negara maju.

“Sebagai Exco pendidikan, saya kira peruntukan RM50 juta untuk sekolah agama dan RM25 juta untuk sekolah pondok yang berdaftar memang sangat relevan kerana kita mempunyai banyak Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang dimiliki kerajaan negeri.

“Ia dapat membantu untuk meningkatkan taraf sekolah agama setaraf dengan sekolah bantuan kerajaan yang lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Konvokesyen Terengganu Advanced Technical Institute University College (TATIUC) hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.