Bagaimana Najib Boleh Dakwa Dia Perdana Menteri Semua Rakyat Malaysia? – Kit Siang

Kuala Lumpur – Jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diyakinkan, 52% rakyat Malaysia tidak perlu akur dengan dasar Barisan Nasional (BN), kata DAP hari ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini merupakan logik di sebalik ucapan Najib semasa perhimpunan MCA semalam, apabila menyatakan masyarakat Cina tidak boleh membuat tuntutan kepada BN pada masa sama mengundi Pakatan Rakyat (PR).

Lim berkata, ucapan itu bertentangan dengan prinsip utama demokrasi, iaitu rakyat berhak mendapat keadilan daripada kerajaan yang ada tanpa mengambil kira siapa yang mereka undi.

“Bagaimana Najib boleh mendakwa dia perdana menteri semua rakyat Malaysia apabila mempertikaikan 52% pengundi yang tidak menyokong BN semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan terdiri daripada semua kaum termasuk Cina, Melayu, India, Kadazan atau Iban?
“Atau adakah Najib bersedia memberi balasan setimpal terhadap ketidakadilan dasar kerajaan dengan mengecualikan 52% mereka daripada membayar segala bentuk cukai termasuk GST yang akan dilaksanakan April tahun depan?” soalnya.

Semalam, Najib, semasa berucap pada pembukaan Perhimpunan Agung MCA ke-61, berkata BN akan bertindak adil kepada masyarakat Cina yang menyokong kerajaan pemerintah dan bukannya PR.

“Saya hendak lakukan lebih lagi, mungkin satu hari nanti saya mampu buat lebih lagi. Tetapi saya juga perlukan masyarakat Cina untuk menyokong BN. Adillah. Kamu kena mainkan peranan kamu juga.

“Kamu tak bolehlah buat tuntutan (dari BN) tapi kemudiannya sokong DAP. Buat tuntutan, kemudian sokong PR. Kamu minta (dari BN), kamu sokonglah BN, kita akan berlaku adil kepada masyarakat Cina,” kata beliau.

MCA mengalami kekalahan teruk semasa PRU tahun lalu, apabila hanya mendaoat 7 kerusi Parlimen daripada 37 kawasan yang bertanding, serta 11 kerusi daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap pada Perhimpunan Agung MCA, semalam. Beliau menyeru masyarakat Cina menyokong BN supaya tuntutan mereka dapat ditunaikan. – Gambar The Malaysian Insider, 13 Oktober, 2014.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap pada Perhimpunan Agung MCA, semalam. Beliau menyeru masyarakat Cina menyokong BN supaya tuntutan mereka dapat ditunaikan. – Gambar The Malaysian Insider, 13 Oktober, 2014.Kenyataan Najib itu menimbulkan reaksi negatif orang ramai.

Lim berkata kenyataan Najib semalam menyinggung perasaan dan berniat jahat.

“Mesej tersiratnya jelas iaitu masyarakat Cina tidak boleh mengharapkan kerajaan berlaku adil jika mereka tidak menyokong BN,” katanya.

Menurut Lim, Najib melanggar empat akujanji dan dasarnya, iaitu menjadi perdana menteri kepada semua rakyat, dasar 1Malaysia, inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik.

“Bagaimana ugutan Najib semalam boleh disamakan dengan dasar 1Malaysia dengan mengutamakan rakyat Malaysia tanpa membezakan identiti etnik?

“Nampaknya Najib sendiri tidak cukup ditanamkan dengan semangat dan nilai 1Malaysia.”

Katanya, Najib juga melanggar prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan melalui GMM yang diusahakannya dengan ugutan menghukum rakyat Malaysia kerana mengamalkan hak semasa mengundi.

Najib juga mempermainkan janjinya untuk menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik di dunia, tambahnya.

“Di bawah pemerintahannya, pengundi hanya ada hak ‘demokrasi’ untuk mengundi BN tetapi bukan PR atau hilang hak asas untuk mendapatkan keadilan dan pentadbiran baik daripada kerajaan,” katanya.  –  MI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.