PAS Dijemput Hadir Perhimpunan Agung UMNO Hujung Bulan Ini

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali, wakil PAS akan hadir ke perasmian Perhimpunan Agung UMNO pada 29 September ini, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, jemputan sudah dihantar kepada pucuk kepemimpinan parti Islam itu dan mereka bersetuju menghantar wakil pada majlis perasmian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun katanya, wakil parti berkenaan hanya akan menghadiri acara perasmian dan tidak akan menjadi perwakilan atau pemerhati dalam persidangan yang berlangsung.

“Selain PAS beberapa parti pembangkang turut dijemput sebagai tanda persefahaman sesama pembangkang,” katanya di sini, semalam.

Ditanya sama ada perhimpunan kali ini akan membincangkan penyatuan dan kerjasama PAS dan UMNO, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, perkara itu tiada dalam agenda perhimpunan.

Bagaimanapun, katanya, pembahas tidak dihalang untuk mengemukakan cadangan itu dalam sesi perbahasan dan terserah kepada pucuk kepemimpinan parti untuk menerimanya atau sebaliknya.

Beliau berkata, UMNO juga akan menghantar 10 wakil diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Muktamar Tahunan PAS Pusat di Kuala Terengganu Jumaat hingga Ahad ini.

“Ini sejarah kepada kedua-dua parti kerana UMNO akan menghadiri Muktamar PAS dan parti Islam itu kemudian akan hadir Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok, berkata seperti Perhimpunan Agung UMNO, Muktamar PAS juga tidak akan membincangkan penyatuan kedua-dua parti.

“Alhamdulillah kedua-dua parti sudah memulakan kerjasama dan ini baik terutama untuk masyarakat Islam dan Melayu,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.