Najib: Dakwaan Terhadap Shafee Kontroversial, Cubaan PH Halang Perbicaraan Adil

SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pertuduhan terhadap teraju utama pasukan peguambelanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai satu tindakan untuk menafikan beliau mendapatkan perbicaraan yang adil. 

Ujar Najib, pertuduhan terhadap Shafee mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 juga dilihat sebagai satu langkah untuk menakutkan atau menghalang peguam lain daripada mewakili beliau di mahkamah.

Tegas Najib, dakwaan terhadap Shafee kerana menerima pembayaran bagi khidmat guamannya adalah satu duluan (precedent) perundangan yang berbahaya buat semua peguam, ahli profesional dan perniagaan.

“Tiada siapa akan selamat jika kerajaan memilih untuk menjadikan anda mangsa atau melakukan penindasan terhadap anda,” katanya dalam satu kenyataan. 

Shafee hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima bayaran sebanyak RM9.5 juta daripada Najib kira-kira lima tahun lalu. Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan.

Jelas Najib, bayaran terhadap Shafee adalah daripada sumbangan politik oleh kerajaan Arab Saudi, sebagaimana yang didedahkannya sebelum ini melalui paparan beberapa dokumen.

“Wang dari sumber ini yang dibayar untuk khidmat Shafee yang menjalankan tugas guaman mewakili parti dalam pelbagai kes selama bertahun-tahun termasuk petisyen pilihanraya bagi Pilihanraya ke-12 dan 13 bagi pemimpin BN lalu seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Rafidah Aziz dan ramai lagi. 

“Peguam berkhidmat dengan yuran dan mereka berhak menerima pembayaran atas khidmat yang sudah disempurnakan,” jelas Najib. 

Dalam pada itu tambah Najib, pertuduhan ke atas Shafee juga boleh dianggap sebagai amat kontroversial pada ketika Jabatan Peguam Negara (AGC) baru menggugurkan dua pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di mana ia adalah satu kes yang sedang melalui perbicaraan.

“Lebih 12 pertuduhan lagi terhadap pemimpin politik Pakatan dan yang berkaitan dengan mereka turut digugurkan dalam tempoh beberapa bulan ini,” katanya.

Najib turut mempersoalkan pemilihan masa (timing) kerajaan dalam mengheret Shafee ke mahkamah, yang mana ia dilakukan beberapa hari selepas peguam itu mendedahkan secara jelas bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengarahkan beliau dilantik sebagai ketua pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pemilihan masa bagi menuduh Shafee juga mengejutkan kerana saya masih tidak lagi diambil keterangan oleh SPRM ataupun berpeluang untuk memberi bukti dokumen-dokumen berkaitan kes ini. Ini bermakna siasatan masih lagi belum lengkap sebelum Shafee dituduh di mahkamah,” katanya. 

Untuk rekod, Shafee mengetuai barisan tujuh peguam bela yang mewakili Najib yang didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi melibatkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn Bhd, Julai lalu. 

Beliau juga mewakili Najib yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk tiga pertuduhan baru iaitu menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram yang dikaitkan dengan dana syarikat SRC International, empat tahun lalu. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.